Monday, October 29, 2007

PERKARA YANG BANYAK HILANG PADA DIRI MANUSIA

Akhir zaman sesuatu yang berharga pada diri manusia banyak yang sudah hilang. Apakah yang sudah hilang pada manusia?

JAWAPANYA…..

KASIH SAYANG TELAH HILANG

Setiap manusia inginkan kasih sayang

Kerana ia adalah makanan jiwa

Tapi di mana ada kasih sayang?

Kasih sayang telah hilang

Seolah-olah setiap orang berkata:

Aku minta kasih sayang dari ibu bapaku

Kasih sayang keduanya telah hilang

Aku minta dengan isteri atau suami, dia buat biasa sahaja

Aku minta kasih sayang dengan adik-beradikku

Kasih sayang mereka juga telah gersang

Aku tagihkan kasih sayang dengan guru-guruku

Kasih sayangnya juga telah kering ketandusan

Aku cari kasih sayang dengan pemimpinku

Kasih sayangnya lebih-lebih lagi telah hilang entah ke mana perginya

Aku cuba mencari kasih sayang dengan kawan-kawanku

Kasih sayang mereka juga entah ke mana hilangnya

Aku cuba meminta-minta kasih sayang dengan orang ramai

Aduh, kasih sayang mereka juga sudah kering-kontang

Begitulah setiap manusia sudah kehilangan kasih sayang

Juga kasih sayang itu telah hilang daripada orang yang hendak menagihnya

Setiap orang sudah tidak membawa kasih sayang lagi

Kita pun tidak dapat dari mereka

Mereka pun tidak mendapat dari kita

Aduh, sungguh mahal kasih sayang di akhir zaman

Hingga susah hendak menemuinya

Kerana itulah manusia hari ini hidup resah, gelisah, derita dan kecewa

AYAH

17.12.99 (9 Ramadhan)



Benarkah bila kasih sayang sudah hilang maka ia bukan lah semudah itu untuk di minta?

JAWAPANNYA……

KASIH SAYANG BUKAN

BOLEH DIMINTA

Sekalipun semua orang inginkan kasih sayang

Kasih sayang bukan boleh diminta-minta

Kasih sayang bukan boleh dipaksa-paksa

Kalau ada sesuatu yang boleh orang jatuh hati pada diri kita

Ada sesuatu yang menarik boleh menghiburkan manusia

Kita tidak minta dikasihi pun tetap manusia cinta

Sekalipun kita tidak hendak dikasihi namun kasih sayang akan diberi oleh manusia juga

Jika kita hendak sangat orang kasih pada kita

Sedangkan tidak ada sesuatu yang manusia jatuh hati pada kita

Bertambah lagi manusia benci pada kita

Usahakanlah apa yang Tuhan suka pada diri kita

Terutama cintakan Allah dan takut pada-Nya

Jadikan pemurah tradisi kita, kasih kepada manusia sikap kita

Sudah tentu manusia suka

Tambah lagi dengan merendah diri, tokok tambah lagi dengan timbangrasa

Cinta manusia kepada kita sentiasa berbunga

Usahakan lagi pada diri kita bekerjasama sesama manusia

Utamakan orang lain dari diri kita

Sabar pakaian kita, lemah lembut budaya kita, memberi maaf kepada manusia

Berganda-ganda lagilah manusia cinta dan kasih kepada kita

Oleh itu diingatkan lagi kasih tidak payah ditagih

Jika ada sesuatu pada diri kita yang menjadikan manusia jatuh hati

Otomatik akan terjadi kasih manusia pada kita


3.9.2001

AYAH






Adakah untuk memperolehi kasih sayang ada syaratnya? Apakah syaratnya itu?

JAWAPANNYA……..

AGIHLAH DULU JANGAN MENAGIH

Engkau inginkan kasih sayang?!

Tapi engkau tidak pernah memberi kasih sayang kepada orang

Engkau inginkan keadilan?!

Pernahkah engkau adil kepada orang?!

Engkau tidak suka dizalimi

Tapi engkau sedarkah?!

Engkau selalu sahaja menzalimi orang

Sama ada secara langsung mahupun tidak secara langsung

Sama ada disedari atau tidak

Sama ada fizikal mahupun mental

Engkau kan manusia

Apa yang engkau suka, itulah juga yang disukai oleh orang lain

Apa yang engkau tidak suka, itulah juga yang tidak disukai oleh orang lain

Janganlah minta orang lain bertimbangrasa

Engkau juga perlu bertimbangrasa kepada orang lain

Jangan tunggu orang lain memulakan

Engkaulah memulakan dahulu

Jangan engkau menagih dahulu

Engkau agihlah dahulu


7.4.99

AYAH


Sebenarnya jalan penyelesaian kita adalah menyerah diri kepada Tuhan. Menagih kasih manusia adakalanya amat susah. Kalau pun dapat kasih dan sayang dari manusia ia hanya bersifat sementara. Kadang-kadang kasih nya jua akan putus dipertengahan jalan samada dia meninggalkan kita atau ia sendiri di bawa pergi oleh Tuhan dari kita. Kasih yang bersifat kekal dan selamat ialah kasih hamba kepada Allah. Kerana apa?

JAWAPANNYA……

ALANGKAH SUSAHNYA MENAGIH KASIH

Alangkah susahnya menagih kasih, laksana mutiara yang sudah hilang

Cari di sana, cari di sini, merata tempat dicari sudah tiada lagi

Aduh, hati ini ibarat bendang yang sudah gersang

Merekah di sana merekah di sini

Kerana hujan kasih sudah lama tidak menyiramnya lagi

Kasih sayang sudah tiada lagi entah ke mana hilangnya

Sedangkan kasih sayang itu sangat diperlukan setiap insan

Manusia kini tercari-cari kasih sayang penghibur jiwanya

Namun demikian mutiara jiwa yang hilang itu tidak juga dijumpa

Aduh, kosongnya jiwa manusia setiap masa

Sudahlah rasa bertuhan sudah tiada, kasih sayang pula hilang

Hidup di dalam keluh-kesah dan gelisah

Akibat dari itu, mudah merajuk dan mudah marah-marah

Tuhan! Tanamkanlah rasa mencintai-Mu di dalam hati kami

Kalau kasih sayang dari manusia tiada, cukuplah kami dengan-Mu

Moga-moga hati yang kosong ini terubatlah sudah

Tiada kasih yang lebih agung dari mengasihi-Mu Tuhan

Inilah harapan kami Tuhan, jangan biarkan kami terumbang-ambing

Kasihanilah kami, selamatkan kami, Tuhan

Tuhan kalau kasih sayang kami dengan-Mu berbunga

Kasih-Mu kepada kami berbalas pula

Segala-gala masalah kami terungkai dan selesai


31.3.97

AYAH

Saturday, October 27, 2007

ABANG



Dari dulu lagi aku memang tak suka dengan Abang. Abang kaki buli! Dia selalu aje ambil peluang yang ada untuk membuli kami adik-adiknya. Malah bukan saja kami yang dibulinya. Boleh dikatakan seluruh anak-anak kampung memang tak suka dengan Abang. Abang memang suka menyakat anak-anak kecil di kampung. Mana yang Abang suka nak ganggu tak kira anak kecil ke, yang sebaya Abang ke mahu pun yang lebih berumur dari Abang kalau datang angin gilanya dia akan mula menganggu. Kadang-kadang kami yang kecil-kecil ini di bulinya sampai kami menangis dan meraung-raung sekuat-kuat hati barulah Abang akan lari. Abang lari bukan terkejut dengan laungan kami. Tapi takut kena marah dengan mak atau kakak. Tapi kalau silap Abang kena belasah kerana menganggu kami akhirnya kami pula akan kena belasah semula dengan Abang.

Kat kampung Abang memang terkenal kaki buli. Anak-anak kecil kalau nampak Abang semua akan lari lintang pukang macam nampak harimau rimba atau pontianak harum sundal malam tu. Dalam keluarga, Abang lebih terkenal macam penyangak atau hantu. Dulu di kampung, tandas-tandas waktu itu semuanya diluar rumah. Menderita lah kalau malam-malam nak melabur. Aduh! waktu itu lah nak ajak berteman. Aku masih ingat Kak Ngah kena buli dengan Abang. Kak Ngah penakut orangnya. Suatu ketika bila Abang dengar Kak Ngah nak buang air, senyap-senyap Abang ambil telekung mak dan Abang salut muka Abang dengan bedak tebal-tebal. Sanggup Abang lari dulu masuk tandas pakai telekung mak semata-mata nak takutkan Kak Ngah. Apa lagi tepekik terlolonglah lah Kak Ngah macam orang histeria hampir-hampir nak pengsan depan pintu tandas. Satu rumah riuh ingat Kak Ngah kena sampuk. Rupanya Kak Ngah nampak hantu. Hantu jantan pakai telekung. Satu rumah marahkan Abang. Yang terlebih-lebih marah dah tentulah mak. Apatak nya telekung orang tua tu nak dibuat sembahyang dipakai bawa masuk tandas. Mengamuk lah dia. Abang ketawa berdekah-dekah je.. bagi Abang seronok bila dapat usik orang.

Dulu kalau ada penjual aiskrim datang maka nak mendapat keuntungan lebih mereka akan menjual aiskrim disamping main tikam-tikam. Kadang-kadang kalau kena tikam tu kat nombor yang kita teka pasti lah dapat habuan aiskrim percuma. Tapi kalau tak kena maka tak dapat apa-apa Cuma rugi sebab masa nak tikam dah kena bayar 5 sen. Tapi Abang bernasib baik aje, tiap kali Abang main tikam dan teka pasti tepat. Pasti mengena kadang-kadang sampai 5 batang aiskrim percuma Abang dapat. Hinggakan penjual aiskrim tak senang hati kalau Abang ada. Rupanya Abang main tipu. Dalam senyap-senyap Abang akan letak magnet kat tempat tikam tu. Jadi penunjuk jarum tu akan berhenti lah kat mana nombor yang Abang nak teka. Hingga perbuatan Abang dapat dikesan. Marah besarlah tauke aiskrim tu. Tapi bila orang kampung marah balik tauke buat main tikam-tikam tak bagus ajar budak berjudi maka tauke aiskrim tak datang lagi. Abang terlepas lagi.Sikap Abang yang paling jahat bila kena kan orang kampung. Bila papan tanda “STOP” Abang ubah kat jalan laluan biasa manakala yang “GO” Abang alihkan ke jalan mati. Haru biru orang kampung marah kan Abang. Tapi Abang tak pernah serik-serik. Telinga Abang macam pekak badak. Kalau orang marah begini esok Abang akan usik begitu pula. Sampai abah pun pening kepala dibuatnya. Dah macam-macam cara abah menghukum Abang. Pernah aku bangun dari tidur nak ke sekolah terkejut bila nampak Abang kena gantung dengan abah kat serambi dapur. Kepala Abang kebawah dan kaki Abang ke atas. Dalam terkejut tu aku gembira juga. Masuk bilik air aku ketawa sepuas hati. Aku suka sekurang-kurangnya hukuman abah pada Abang tu dah membayar semua dendam aku pada Abang. Bila Abang tahu aku suka dia kena hukuman dengan abah siaplah petang nanti Abang balas ketuk kepala aku.Itulah sikap Abang. Sebab itu aku memang tak suka Abang. Dulu sewaktu aku kecil-kecil Abang selau gunakan aku untuk dapatkan sesuatu dari mak atau Kak Long. Abang suruh aku pergi kedai beli macam-macam untuk dia. Lepas tu bila nak bayar dia ajar aku cakap dengan mamak kedai tu. “Mamak mak saya suruh beli barang ni, ni, ni, dan ni. Kasi tulis dalam buku. Nanti cukup bulan mak saya bayar”. (Dulu-dulu kalau utang kat kedai
mamak kan ada buku 555 tu. Jadi tulis dalam buku utang 555 lah). Kalau lah aku tak mahu buat Aban
g akan ugut aku.Malah pernah aku tak mahu ikut arahan Abang. Apalagi teruk lah aku kena balun dengan Abang. Kalau beritahu mak haaa siap dia ugut akan kenakan aku lebih teruk dari itu. Satu hari bila mak nak bayar hutang barang dapur terkejut beruk mak. Angka hutangberlipat ganda dari jangkaan. Bila mak semak-semak barangan tu semua mak tak pernah beli. Siapa yang beli?? Haa nama aku juga lah yang popular. Semua terkejut macamlah aku ni jahat bebeno. Tapi semua tak tahu Abang lah yang suruh. Mula-mula takut nak bagitau mak kesah sebenar takut Abang mendera aku balik. Tapi lama-lama akhirnya mak tahu juga. Mak pun tutup buku utang dah tak ada beli-beli barang dapur berhutang lagi.

Kalau nak raya Abang lah paling sibuk nak pasang pelita. Abang minta dibelikan minyak tanah dan pelita. Abang suka sekali kalau bab-bab pasang pelita ni. Punya lah gila nak memasang pelita ni Abang lah yang bersungguh mencari buluh di hutan belakang rumah. Buluh tu Abang akan pacakkan atas tanah nanti pelita akan disangkutkan kat buluh tu. Memang menggila lah Abang waktu ni. Tapi aku paling benci sebab Abang lantik aku jadi orang suruhan nya. Hee menyampah! Tak ikut cakap takut kena ketuk kepala. Ikut jugalah Abang masuk hutan. Tapi aku tumpang seronok juga. Bukan selalu aku dapat bebas jalan-jalan masuk hutan. Macam-macam aku dapat saksikan dalam hutan ni. Dapat tenguk pokok-pokok yang menghijau, dapat tenguk cendawan tumbuh dan seronok kalau dapat petik bunga-bunga hutan dan bawa balik. Tapi takut juga bila Abang dah jauh kedepan aku tinggal keseorangan dibelakang. Tercungap-cungap aku kejar Abang. “Cepatlah!!lemban” Abang menjerit marah kat aku. Aku diam je tak jawab pa pe. Takut sangat dengan Abang.

Bila Abang nampak pokok-pokok buluh terus Abang tebang. Abang potong ikut panjang yang Abang nak. Lebih kurang 20 batang Abang pun berhenti. “Banyaknya!” aku menjerit. “Ah….. ko diam! angkat semua bawak balik.” Abang merengus. Lepas tu Abang bersiap-siap nak balik. Abang tak bawa satu pun batang buluh tu. Tapi aku yang kena pikul. Zalim betul dia. Dia boleh jalan lenggang kangkung hanya ditangannya yang ada sebilah parang tu je. Eee aku punyalah geram.Mula lah aku berfantasi nak jadi harimau. Aku nak mamah-mamah Abang dengan gigi taring aku. Tak pun aku jadi ultraman. Dapat tangkap Abang aku sepak-sepak, aku patah-patahkan badan Abang aku bagi dia power api panas, lepas tu aku baling dia atas langit tinggi sampai dia tak boleh turun ke bumi lagi. He he he………. tapi sebenarnya aku takut Abang. Walaupun waktu itu kudrat ku si anak kecil ketika tu rasa tak terdaya nak bawa 20 batang buluh tapi tak berani nak komen apa-apa. Takut Abang libas aku dengan parang sampai berkecai badan aku maka aku bawa juga lah terengkek-rengkek sambil peluh berjurai membasahi badan. Sesampai di rumah Kak Long dah menunggu depan anak tangga. Tiba-tiba aku nampak Abang bergegas lari lintang pukang. Kenapa? Entah aku pun hairan kenapa Abang tak terus balik rumah tapi lari patah kebelakang masuk laman rumah jiran lepas itu hilang kemana pula.

Sesampai di laman Kak Long pun datang menghampiri aku. Tak semena-mena Kak Long pulas telinga aku. Kak Long macam orang gila meracau pulak sambil membebel-bebel. Udahlah aku penat angkat buluh tu sorang-sorang tiba-tiba kena pulas telinga pulak. Rupanya Kak Long marah sangat. Kami tak basuh kasut sekolah lagi dah masuk hutan. Abang terlepas lagi…..aku juga yang kena. Ishhh… Abang memang jahat. Memang samseng.

Ring-ring….Kebetulan hari ini hari terakhir puasa dan esok hari raya, tiba-tiba handset aku berbunyi. Aku pun bergegas menjawab panggilan “Hello! Dik apa kabar?” ehhh itu suara Abang! Menyampah pula bila dengar suara Abang ni. Tapi kesian , suara Abang dah bertambah garau almaklumlah Abang dah menjangkau umur 50 an sedangkan aku pula dah menjangkau 40 an. “Baik” aku menjawab ringkas “Mak apa kabar?” dia bertanya lagi. Malasnya aku nak menjawab. Biasanya bila nak raya Abang, Kak Long, Kak Ngah hanya akan tanya kabar mak je..(abah dah lama meninggal). Tak ada seorang pun akan balik beraya pertama dengan mak. Dah 10 tahun aku dan suami duk menjaga mak di kampung. Selama sepuluh tahun itulah aku dan suami tak pernah balik beraya pertama di rumah mertua. Aku dan suami selalu mengalah aje dengan adik beradik yang lain. Selalunya lepas mereka balik pada hari raya kedua dan ketiga baru lah aku dapat balik ke rumah mertua. Selama 10 tahun menjaga mak tak seorang pun mahu bergilir beraya pertama di rumah bersama mak. Aku sekeluarga lah juga yang terpaksa mengalah. Kalau aku buat selamba balik dan beraya pertama di rumah mertua tak kan lah nak biarkan mak beraya sorang-sorang kat kampong pulak. Mujur mertua memahami dan suami terlebih-lebih lagi memahami. Kekadang aku merayu juga minta sesiapa sudi beraya pertama dengan mak. Bolehlah aku pulang beraya pertama di rumah mertua pula. Tapi macam-macamlah alasan mereka. Tahun ini aku tak mahu merayu pada sesiapa. Aku biarkan Tuhan saja yang mencatur. Merayu dengan Tuhan lebih baik dari merayu dengan manusia. Biarlah Tuhan yang mencatur. Aku yakin selama sepuluh tahun aku berkorban menjaga mak tak kan lah adik beradik ku tak sanggup bekorban walaupun sehari untuk aku.

Tiba-tiba suara Abang di dalam telephone mengejutkan aku. Entah kenapa kali ini aku suka dengar suara Abang. Suara Abang yang dulu aku paling benci, paling sakit hati tetiba berubah. Abang kata Abang dah sampai kat Melaka tak lama lagi dalam setengah jam atau lebih sikit Abang akan sampai kat umah. Abang kata tahun ini Abang beraya pertama dengan mak. Abang kata aku boleh balik beraya rumah mentua lama-lama sebab Abang cuti lama….dan Abang kata Abang tak kesah …….lama mana aku nak beraya rumah mertua tahun ini sebab lepas ini Kak Ngah pula akan bawa mak balik beraya di rumahnya di Pantai Timur pula………….TERIMA KASIH ABANG DAN TERIMA KASIH TUHAN……


Kasih Sayang Keperluan Manusia

Kita hidup kenalah berkasih sayang

Kasih sayang adalah keperluan bersama

Kita hidup kenalah berkerjasama

Kerjasama membawa kemajuan agama dan bangsa

Bertolak ansur jadikan budaya

Janganlah fikirkan diri kita sahaja

Bertolak ansur boleh membawa hidup harmoni

Hidup harmoni semua orang memerlukannya

Allah Taala suka kita hidup aman damai

Bermaaf-maafan, Allah Taala juga suka

Nasihat-menasihati juga jangan dilupakan

Itulah caranya ingat mengingati perkara yang berguna

Jadikanlah Allah Taala tempat rujuk

Rujuk di dalam semua hal kepadanya

Inilah caranya keselamatan hidup kita

Keselamatan hidup dunia akhirat

Jika pesanan ini dijadikan pegangan hidup

Tuhan sentiasa bersama kita

Kemana pergi kita sentiasa dipimpinNya

Hidup kita pasti aman dan bahagia

AYAH

15/12/02

Friday, October 26, 2007

GAMBAR KENANGAN MENJAHIT BULAN PUASA

Inilah gambar-gambar kenangan sewaktu aku sibuk menjahit dibulan puasa. Baju-baju pelanggan baru separuh siap tu.










Haa yang atas meja tu dah siap bergunting tapi belum berjahit.








Yang nampak berlipat tu dah jahit tapi belum bergosok lagi.










Haaa yang ni pula mesin-mesin jahit kesayangan ku. Mesin jahit tepi beli secondhand je ngan kawan. Yang YAMATA untuk jahit lurus ni beli baru RM780 sahaja. Dah 4 tahun guna... alhamdulillah belum lagi buat hal.Tapi biasanya setahun sekali kena juga hantar servis.

SELAMAT HARI RAYA BUAT SEMUA

Assalamualaikum semua..

Kepada semua pembaca-pembaca blog sentuhan kalbu atau kepada sesiapa sahaja yang menjengah tanpa sengaja malah yang teraccident masuk ke dalam blog ini tanpa terancang ingin sekali aku menyampaikan ucapan walaupun kiranya sudah agak lambat dan kiranya syawal sudah 2 minggu berlalu.

SELAMAT MENYAMBUT

HARI RAYA AIDIL FITRI

MOHON AMPUN & MAAF”