Monday, April 2, 2012

EGO BERTEMU EGO


Segala-galanya sudah terlambat. Semuanya sudah terlanjur. Tak ada apa yang hendak dikesalkan lagi. Saya terpaksa menjalani hukuman atas keterlanjuran yang memang saya sengajakan. Nak berpusing ke belakang dah tak boleh. Mahu tak mahu saya terpaksa menanti hari untuk mengadap pegawai kami yang dikenali sebagi Majer Nordin. Orangnya berkumis tebal, mata galak dan air muka yang agak serius lagi garang di tambah dengan suara yang garau dan kasar.

Entah mengapa kokurikulum badan beruniform ini yang saya pilih sebagai kokurikulum wajib yang perlu diikuti disalah sebuah IPTA di ibukota ini. Padahal banyak kokurikulum lain yang saya boleh pilih. Tapi badan beruniform ini juga yang saya pilih. Saya tersalah pilih atau saya sengaja memperbodohkan diri memilihnya? Yang pastinya kerana asyik tak nak berpisah dengan kawan-kawan yang tinggal satu dorm. Mereka semua memilih latihan kawad kaki maka saya pun tak mahu ketinggalan. Main ikut membabi buta tanpa berfikir samada saya mampu atau tidak mengikuti latihan-latihan tersebut. Bila dah berkumpul di tengah-tengah padang baru lah dada saya berombak-ombak. Sesak nafas saya untuk menjalani latihan yang tak ubah macam tentera. Ditambah lagi perkara yang paling saya benci dan sakit telinga bila mendengar maki hamun dari pelatih-pelatih kami setelah kami membuat pelbagai kesilapan.

Minggu berganti minggu lama kelamaan saya dah tak bersemangat lagi nak ke padang kawad. Hari-hari saya ponteng. Kebiasaanya selepas solat asar kawan-kawan satu dorm sibuk berebut-rebut menyiapkan diri tapi saya buat tak tahu aje. Hari ini saya ponteng, esok saya ponteng dan begitulah hingga masuk dua minggu lamanya saya tak ke padang kawad. Walaupun puas kawan sebilik memujuk saya pergi mengikuti latihan di padang kawad, saya nekad tak mahu pergi. Semuanya takut bila Majer Nordin mengamuk di padang kawad bila dia mendapati saya sudah dua minggu tak hadirkan diri untuk berlatih.

‘Mana Ummu? Kenapa tak datang ? Dah mampus ke dia?’

Kata kawan-kawan saya dia asyik marah dan mengutuk-ngutuk saya di padang kawad.

Ungkapan yang paling dia suka gunakan pada saya ialah ‘Ummu dah mampus ke??’. Ahh memang saya dah mampus! Jiwa saya sudah mati. Saya sudah tak ada semangat untuk terus mengikuti latihan kawad ini lagi. Saya mula mengambil kira untuk menukar sahaja latihan kokurikulum lain. Entahlah saya tak tahu mengapa? Saya rasa latihan ini tak sesuai dengan jiwa keperempuanan saya. Atau saya yang bersikap sangat ego tak mahu tunduk dengan arahan dan peraturan mereka? Pastinya sifat ego dan tidak mahu mengikuti peraturan telah memakan diri saya sendiri. Itulah saya sewaktu remaja ketika di salah sebuah IPTA beberapa belas tahun yang lalu.

Akhirnya saya terpaksa berhadapan dengan Majer Nordin di bilik kaunseling. Bila saya melangkah masuk pejabat Majer Nordin, dari jauh lagi dia sudah menjerit. Apa lagi terkeluar lah segala maki hamun untuk saya. Semua staf di dalam pejabat berpusing arah memandang saya. Perasaan malu tiba-tiba meyelubungi diri saya. Perit telinga! Barulah saya dapat rasakan bagaimana perasaan bila dimarahi dengan bekas ahli tentera ini. Sebelum ini saya hanya dapat melihat rekrut-rekrut kena marah dengan bos masing-masing. Kalau suara si tua tu dah jerkah saya macam hililintar apa lagi rasa macam nak pecah gegendang telinga. Tambah bila saya tenguk muka Majer Nordin dah tak ubah macam muka King Kong. Eee… buruk betul muka si tua ni bila marah terpekik-pekik. Saya buat-buat pekak badak ajelah. Pada mulanya semua mata staf mengerling ke arah saya tetapi bila mendengar suara Majer Nordin memekik tiba-tiba mereka semua tunduk buat kerja masing-masing. Tak seorang pun yang berani nak bercakap antara satu sama lain. Untuk memandang saya apatah lagi. Saya pun tundukkan muka. Tak berani nak membela diri. Mengaku salah itulah yang lebih baik buat masa ini supaya situa ini cepat berhenti marahnya.

Tiba-tiba Majer Nordin bertanya? ‘Awak kenal saya?’

‘Kenal Tuan’

‘Kalau awak kenal cuba awak sebut nama penuh saya dengan nama bapa saya sekali.’

MasyAllah namanya saya tahu lah tapi nama bapaknya saya tak ingat. Almaklumlah kena sergah mana saya nak ingat. Kat name tag yang dia pakai pun tak ada pula tertulis nama ayahnya. Aduh…perangkap ni! Saya masuk perangkap lagi!

‘Kenapa awak diam?’

‘Saya tahu nama Tuan … tapi nama ayah Tuan saya tak tahu.’

Apalagi…si tua ni pun menjerit ‘ Kenapa awak tak tahu nama penuh Cik gu awak sendiri?’

‘Sebab saya selalu tak ikut latihan kawad tuan.’sepontan saya menjawab.

Sebenarnya itulah jawapan yang dia mahu dari mulut saya, iaitu pengakuan kesalahan yang saya dah buat selama dua minggu ni.

Tiba-tiba muka majer Nordin yang serius berubah manis sedikit dan suaranya pun tiba-tiba kendur… Agaknya situa ni dah semput kot!

‘Mengaku pun awak yaa.. Sekarang awak balik asrama dan tulis atas kertas tiga puluh ribu patah perkataan ‘NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT’sebagai hukuman untuk awak. Minggu depan hantar ke pejabat saya. Paham?’

Itu jeeee??? Hati saya berbisik. Ingat nak kena gantung belajar ke atau kena lari kat padang kawad barang 10 atau 20 round ke, atau bla, bla, bla…Ahhh tapi saya dah malu nak berdiri lama-lama dalam pejabat ni. Gayanya cikgu Nordin macam dah semput dan macam dah menyampah tengok muka saya. Apa yang saya fikirkan terbaik saat itu ialah berundur diri cepat-cepat sebelum dia berubah fikiran untuk menambah hukuman keatas saya. Malahan dia pun dah suruh saya balik asrama…Famous dan glamour lah saya semester ni!!Padan muka saya!!!

Orang lain dah tidur atas katil masing-masing. Saya masih lagi menulis atas helaian-helaian kertas

NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT

NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT

NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT

Sedang tangan saya ligat menulis…tiba-tiba saya teringat empat hari lagi Cuti Semester. Ahhh….(saya mengeluh) sambil itu saya merenyuk-renyuk semua kertas yang saya tulis tadi lalu saya campakkan semuanya ke dalam tong sampah.. Saya berlalu pergi menuju kekatil dan saya ucapkan SELAMAT TINGGAL CIKGU NORDIN SEMESTER DEPAN KITA TAK JUMPA LAGI ………. Pastinya saya akan tukar kokurikulum lain…..

EGO

Ego, sombong atau takbur adalah sifat mazmumah mendekati kekufuran

Ia bermula daripada sikap iblis terhadap Adam

Kalau dibiarkan hingga subur mudah membawa kepada kekufuran

Sama ada secara sedar atau tidak sedar

Macam adil, salah satu sifat mahmudah mendekati taqwa

Tambah sedikit sahaja lagi sifat taqwa itu pun dapat dicapai

Sifat-sifat mazmumah yang lain seperti di bawah ini

Atau dia buah-buah yang lahir daripada satu pokok

yang dinamakan ego atau takbur

Ego adalah pokok boleh melahirkan

berbagai-bagai buah mazmumah yang banyak jika disuburkan

Di sini dibawa beberapa contoh untuk mudah difaham

Seseorang yang sombong jika tersinggung

marahnya pun datang dan merangsang

Dia datang meluap-luap tanpa dapat ditahan-tahan

Sama ada di hadapan orang sedikit mahupun orang ramai

Marahnya membakar, matanya merah, badan menggeletar

Jika dia tahu ada orang lebih darinya

Sama ada ilmu, harta, pengikut, pengaruh,

Wah! Hasad dengki membakar

Jiwanya menggelisah tidak tentu arah

Kalau orang itu pula mencabar

Wah! Dendam kesumatnya pun

macam gunung berapi menunggu keluar lahar

Jika bertukar fikiran dengan orang dia membantah tidak sabar-sabar

Bertelagah, membantah, sekalipun orang itu benar

Sekiranya melihat orang bawahnya yang hina-dina

hatinya jijik, bibir mencemik

Melahirkan rasa benci atau menghina yang datang dari hati

Kalau orang memberi nasihat hatinya sakit

Dengan orang susah hendak berkawan

Jika ada orang bawahnya tersalah

Aduh! Tengking herdiknya macam muntah yang keluar

Keluarlah bahasa-bahasa kesat yang sangat dahsyat

Kalau dia ada jasa minta dipuji dan disanjung tinggi

Jika dia ada kuasa, nama dan glamor minta dihormati pula

Susah hendak memuji orang

Payah mahu hormat

Orang yang mempunyai sifat ego atau sombong ini jika ada kuasa

Aduh! Musuh-musuhnya tidak ada maaf, dibelasahnya

Kawan setia pun dia boleh khianat

Jauhilah sifat sombong dia amat bahaya

Sesiapa memilikinya mudah sahaja jatuh kepada kufur, wal’iyazubillah

AYAH

12.11.2002

Saturday, November 17, 2007

UDA DAPAT RM 3.00

Entah apa yang uda minta ari tu aku tak ingat. Tapi ada sesuatu yang dia cuba minta pada aku minggu lepas tapi aku buat tak layan je. Aku cuba juga ingat-ingatkan, tapi aku tetap tak ingat juga. Yalah kepala otak orang tua dah ambang 40an ni dah kira susah nak mengingat. Cuma yang aku ingat aku ada cakap “Mak tak ada duit lah. Nak beli lauk untuk kita makan pun dah tak ada duit ni. Jangankan mak, abah (maksudnya suami aku) pun tak ada duit!”

Nampak lah raut wajahnya hampa. Kesian, bukan tak kesian tapi aku buat tak peduli je dengan uda. Memang betul bukannya aku nak menipu dia. Lepas-lepas raya ni income payah cikit. Siapa yang berniaga dia pahamlah. Semua mengeluh di hujung-hujung tahun ini.

Semalam balik dari sekolah wajah uda nampak girang aje. Ialah semalam last sekolah. Lepas tu dah cuti panjang pulak. Uda terus menghampiri aku.

“ Mak tadi uda dapat duit Cik gu bagi? ”

“ Duit apa? ”

“ Duit RM 3 ”

“ Ialah duit untuk apa? ”

“ Cik gu bagi sebab lulus matematik ”

“ Semua dapat? ”

“ Yang lulus aje? ”

“ Ramai ke lulus? ”

“ Ramai gak! ”

“ Amboi banyaknya duit Cik gu! ”

Tiba-tiba uda datang berbisik sambil menghulur duit tu pada aku. “Mak ambiklah duit ni”.
Aku kehairanan sebab dia betul-betul merayu dan mengharap aku ambil kesemua rm 3 yang dia dapat tu. Aku tak mahu tapi dia mendesak juga. Aku pun tanya penuh kehairanan “Kenapa nak bagi kat mak?”
“Mak ambillah buat beli lauk. Hari tu kan mak kata tak ada duit nak beli lauk. Ambillah mak!”
dia jawab serius.

Aduh tersentuh betul hati aku….sedangkan apa yang dia mintak hari itu aku tak ingat tapi dia masih boleh ingat apa yang dah aku katakan.

Tak tergamak aku nak mengambil duit dia. Lagi pun suamiku dapat rezeki yang tak disangka-sangkakan pagi tadi. Ada pulak tauke Cina datang nak beli semua barangan komputer yang dah rosak-rosak. Mujurlah kami tak membuang komputer dan peralatan yang rosak tu. Ada nilai juga rupanya. Tak sangka dapat juga rm 100 pagi tu tanpa bersusah-susah. SyukurAlhamdulillah. Inilah rezeki dari Tuhan dari sumber yang tak disangka-sangkakan.

Aku bersuara kat uda sambil memujuk “tak yah lah uda, abah dah dapat duit nanti esok mak masak nasi ayam eehhh. Duit tu uda buat simpan atau beli je apa yang uda hajatkan.”

Seperti yang dijanjikan aku pun masak nasi ayam hari ini istemewa buat keluarga dan uda. Dan pastinya keperihatinan uda untuk membantu keluarga tidak ku lupakan. Apalah nilainya rm 3 itu? Tak sebesar mana. Tapi kalau nak dikirakan dengan umur uda yang baru 12 tahun itu rm 3 itu cukup besar. Keikhlasan uda untuk senang bersama dan susah bersama tidak boleh nak diukur dengan mana-mana kayu pengukur. Terimakasih uda!

Sejenak aku merenung kembali kesah uda, aku masih teringat pesanan ayah tentang rezeki. Rezeki itu dari Tuhan dan kata ayah lagi..............

REZEKI ITU DARI TUHAN

Sepatutnya kita hamba Allah, tentang rezeki tidak perlu bimbang

Selama hamba itu hidup, ada jaminan dari Tuhan

Sedangkan seorang ayah terhadap anak-anaknya pun bertanggungjawab

Betapalah Tuhan yang bersifat Rahman terhadap hamba-hamba-Nya, mesti ada jaminan

Kerana itu baik sangka kepada Tuhan perlu, dan bertawakal kepada-Nya untuk ketenangan

Yang penting kepada seorang hamba berusaha mencari hidayah, taqwa dan iman

Yang ini kenalah dibimbangkan

Yang ini kenalah benar-benar struggle memperolehinya, tidak boleh bersenang-senang

Hidayah, iman dan taqwa kenalah cari bersungguh-sungguh

Ilmunya kena cari, bersungguh-sungguh amalkan, istiqamah dan perlukan pimpinan

Kemudian tentang rezeki, Allahlah memberi jaminan

Bukankah Tuhan pernah berkata yang bermaksud:

"Barangsiapa yang bertaqwa, rezekinya dijamin yang tidak diketahui mana sumber datangnya"

Dosanya diampun, amalannya diterima

Tuhan jaga mereka daripada tipuan syaitan

Musuh-musuh tidak dapat menipu dayanya

Mereka dijamin diberi kemenangan

Oleh itu rezeki janganlah dibimbangkan

Yang perlu, kita dekatkan diri kepada Tuhan

Bila jadi orang Tuhan segala-galanya ada jaminan


13.9.99

AYAH


FAHAMILAH PERBUATAN TUHAN

Jagalah perhubungan baik engkau dengan Tuhan

Agar Allah Taala berhubung baik dengan engkau

Sangka baiklah kepada Tuhan mengenai rezeki engkau

Tuhan adalah penjamin rezeki engkau

Bertawakallah kepada-Nya dan yakinlah kepada-Nya hati engkau akan tenang

Beradablah kepada Tuhan kerana Dia lebih tahu tentang keperluan-keperluan engkau

Ketentuan Tuhan ke atas diri engkau itu kecuali kekufuran, ada mengandungi pelajaran

Redhalah menerimanya, walaupun engkau tidak faham, lambat laun Allah akan memberi faham

Fahamilah perbuatan Tuhan ke atas diri engkau

Agar engkau tidak salah faham

Salah faham terhadap perbuatan Tuhan akan merosakkan engkau

Sekali-sekala disakitkan-Nya engkau mesti ada maksud yang tersembunyi oleh Tuhan

Adakalanya engkau dikayakan Tuhan ada tujuan

Di waktu-waktu tertentu engkau dimiskinkan oleh Tuhan

Mesti ada mengandungi pendidikan

Setiap kali Allah Taala ubah kehidupan engkau

Berhati-hatilah menerimanya

Jangan sampai salah terima

Engkau tidak beradab dengan Tuhan

Patutkah kita tidak beradab dengan Zat yang Maha Suci

Yang Maha Mengetahui Lagi Bijaksana

Daripada sebarang kesalahan dan kesilapan?!

Berhati-hatilah dengan Tuhan!

Jangan sampai kita tidak bersopan dengan-Nya

12.9.99

AYAH

Thursday, November 15, 2007

UBI REBUS DAN ABAH

Dah dua minggu hujan turun sebelah malam sampai lah ke pagi. Tapi tidaklah berlarutan hari-hari. Ia turun berselang seli, cuma kekadang berturut-turut juga. Tiba-tiba aku teringatkan Abah. Setiap kali hujan turun Abah akan duduk depan pintu rumah. Itulah kerja Abah suka termenung lihat air hujan turun mencurah-curah ke bumi. Tapi termenung Abah bukan termenung sembarangan. Kalau tak dekati Abah, tak tahu yang abah sedang menghafal ayat-ayat Al-Quran. Disamping asyik memerhati air hujan mulut Abah kumat kamit. Kadang-kadang bersuara dan kadang-kadang suara Abah tenggelam. Bila Abah kira dah dapat hafal semua ayat yang Abah dah tentukan untuk dibaca barulah Abah akan baca lancar kuat-kuat. Itulah halwa telinga buat aku. Waktu itu jarang nak buka radio mahupun tv. Hanya suara Abah mengaji dan menghafal Al-Quran jadi penghibur aku.

Nanti bila Abah dah penat Abah turun ke dapur pulak. Rupa-rupanya Abah rebus ubi. Ubi yang mak tanam! Abah rebus sendiri ubi tu, lepas tu Abah goreng ikan masin. Nanti Abah panggil aku buat sambal tumis dan Abah suruh bancuh kopi sekali. Dah masak Abah ajak makan kat serambi. Kami makan berdua aje. Sebab waktu itu kami tinggal berdua. Mak tak ada dan adik beradik yang lain pun tak ada. Sambil makan Abah akan cerita macam-macam. Kalau dengar cerita Abah kena hati-hati. Kadang-kadang dalam cerita tu ada maksud tertentu Abah. Samada Abah saja-saja nak bercerita ke atau Abah nak tujukan kemarahan ke, nak tegur kelakuan aku ke, nak mendidik aku ke melalui sindiran halus Abah tu, tapi pastinya aku tak terasa sakit ati pun.. Sebab Abah pandai menyulam maksud dalam cerita Abah tu.

Lepas makan Abah sambung duk sorang-sorang lagi. Abah termenung tengok hujan. Kadang-kadang wajah Abah nampak suggul, kekadang nampak ceria, kekadang nampak muram. Kadang-kadang aku nampak Abah ketawa pula sorang-sorang. Jangan ditegur kelakuan Abah tu. Nanti kalau ditegur Abah akan ajak duduk sama dan sambung cerita lagi..kalau Abah ketawa tu pasti Abah terkenang pengalaman hidup Abah yang mencuit hati. Ahhh malas nak tanya. Nanti kerja sekolah aku tak siap. Aku biarkan Abah sendirian.

Sekarang suara Abah dah tak kedengaran lagi. Cerita-cerita Abah pun dah tak ada lagi. Ubi yang Abah rebus pun dah tak ada lagi. Abah pun dah tak ada lagi. Abah yang dah tinggalkan aku. Tinggalkan aku buat selama-lamanya. Cerita-cerita Abah hanya tinggal kenangan. Ubi rebus, ikan masin goreng dan sambal tumis hanya menjadi
kenangan untuk aku. Kenangan bersama Abah di waktu hujan disebelah pagi.

Abah…..anakanda rindukan Abah!!!!!!!!!!!!
Al-Fatihah buat Abah...

Monday, November 12, 2007

BUAT BISKUT PENUTUP RAYA

Ohhh yaa 10/11/2007 bersamaan 29 syhwal. Menandakan hari terakhir bulan syhwal. Hari tu aku tetiba rajin pulak nak membuat biskut tart dan almonds sweeties. Terpaksa juga buat rajin. Bukan apa...almaklum lah nak menyelamatkan barang-barang lebihan buat kuih yang masih baki banyak lagi tu. Itu pun tenguk margerin dan butter dah mula nak bercendawan. Jadi kira menyelamatkan bahan-bahan tersebut agar tak rosak kena lah buat juga biskut cepat-cepat. Haaa kebetulan biskut tart memang kegemaran aku sekeluarga. Sumber resepi dapat dari blog kak liza dan kawan-kawan dari forum wanitaniaga. Terimakasih semua kengkawan yang hanya dikenali di alam maya. Terutama Kak Liza lah. Memang kalau nengok semua gambar-gambar resepi Kak Liza dalam hanieliza.fotopages pasti terliur. Bukan terliur aje, bersemangat nak mencuba. Jadi tak jadi tak penting tapi mesti nak cuba.

BISKUT TART GULUNG
SUMBER hanieliza.fotopages

Bahan
125 gm butter

125 gm majerin
70 gm gula halus
1 biji kuning telur
1 s/k esen vanilla
350 gm tepung gandum
50 gm tepung jagung

Jem Nenas..boleh dibeli dikedai bahan kueh/kek
atau..
1 biji nenas ] blend dan masak sampai pekat baru + gula
1/2 cawan air ]
1 cawan gula

Bahan Glaze/pengilat
2 kuning telur
2 s/kecil air
pewarna kuning

Cara.
1. Gaulkan butter,majerin dan gula supaya rata.
2. Masukkan kuning telur dan esen vanilla dan gaul sehingga rata.
3. Masukkan tepung gandum dan tepung jagung yg telah diayakkan.
4. Gaulkan sehingga rata dan sebati.
5. Gunakan acuan Nestar dan pamkan adunan.
6. Kepalkan jem nenas sebesar biji kurma.
7. Letakkanjem nenas diatas adunan dan gulungkan.
8. Masukkan adunan biskut dalam acuan kertas.
9. Sapukan dengan bahan glaze tadi.
10. Bakar dalam oven suhu 180'C sehingga kuning keemasan atau masak dalam 20 minit.
11. Bila telah masak, sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.















Hemm mengancam!!Panas-panas lagi dah berebut. Masak ilang, masak ilang! Tak ada acuan gulung.....jadi tak yah glaze laaa.


BISKUT ALMONDS SWEETIES
SUMBER hanieliza.fotopages

BAHAN
250gm butter
160 gm gula
1 biji kuning telur
1 s/t vanilla
150 gm badam kisar ]
300gm tepung gandum ] gaulkan rata
60 gm yepung jagung ]

HIASAN
paper cup
coklat putih
coklat cooking
manik hiasan

Cara
1. Gaulkan butter dan gula sehingga lembut.
2. Masukkan telur dan vanilla dan gaulkan lagi.
3. Masukkan badam dan tepung dan gaulkan lagi.
4. Buatkan sapeti bentuk buah kana kecil dan susunkan dalam loyang
5. Panaskan oven pada suhu 170'C selama 10 minit
6. Bakar dalam suhu selama 20 minit atau masak. Sejukkan dalam loyang.
7. Cairkan coklat cara double boiler dan celupkan biskut.
8. Masukkan biskut dalam paper cup. Biarkan beku.
9. Cairkan pula coklat putih secara double boiler dan masukkan dalam piping bag.
10. Pamkan/lorekkan coklat putih atas biskut yg telah di celupkan coklat tadi. Hiaslah mengikut suka hati.
11. Tunggu sampai biskut sejuk betui baru masukkan dalam bekas kedap udara.








Ketak- ketak tangan nak masukkan coklat tu. Nak main golek biskut dalam coklat boleh tapi bila nak masukkan dalam paper cup habis sememeh. Biskut terpelanting pun yee! Ah senang main pakai sudu je. Cepat sikit.









Dah masukkan coklat susun dalam dulang dulu.











Dah hidang cantik-cantik. Nak makan ke nak posing gambar?

Sunday, November 11, 2007

MENCINTAI TUHAN

Tuhan Adalah Cinta Agung

Aku tahu Engkau Tuhan adalah cinta agung,

Aku pun mahu mencintaiMu

Aku tahu mencintaiMu amat perlu,

Ia kemuncak daripada segala kebahagiaan

Aku berusaha ke arah itu,

tapi cintaku padaMu Tuhan

selalu sahaja terganggu,

Banyak yang mengganggu,

Nafsuku yang jahat, syaitan terkutuk

Dunia yang mempesona menggamit-gamit selalu,

Di waktu itu lupa aku padaMu,

Cinta sudah tentu jauh sekali,

sekali-sekala cintaku padaMu datang juga,

walaupun sedikit, terasa indahnya

Kemudian lupa lagi

Adakalanya lupaku padaMu

berpanjangan sekali

Kemudian sekali-sekala tersedar kembali,

Engkau adalah cinta agung,

Engkau patut dicintai

selepas itu lupa lagi,

Begitulah cintaku padaMu dengan kelalaianku

silih berganti Tuhan,

Dengan hati yang sedih ini tolonglah aku,

dengan rahmatMu,

Bantulah aku untuk mencintaiMu

Agar cinta yang palsu itu

terbunuh dengan sendiri

Itulah harapanku padaMu

OLEH AYAH


CINTAILAH TUHAN

Cintakan Tuhan tidak ada apa-apa masalah

Sama-sama cintakan Tuhan tidak ada saingan, tidak ada perbalahan

Sama-sama cintakan Tuhan tidak ada rebutan

Sama-sama cintakan Tuhan tidak ada hasad dengki tidak ada perga

duhan

Setiap orang cintakan Tuhan semua dapat layanan

Seramai manapun orang inginkan cinta Tuhan semuanya dapat balasan cinta Tuhan

Sama-sama perjuangkan tidak ada pertarungan

Semua orang cintakan Tuhan, semua dapat, setiap orang dilayan Tuhan

Tidak ada orang yang kecewa

Cintakan selain Tuhan ada yang dapat ada yang kecewa

Terpaksa bertarung sesama

Perbalahan pun datang, pergaduhan pun tiba bahkan terjadi peperangan sesama

Cinta selain Tuhan tidak boleh dibalas semua

Sedikit yang dapat ramai yang kecewa

Akhirnya bermasam-masam muka sesama

Sesama cintakan Tuhan membawa kasih sayang dan perpaduan

Cintakan selain Tuhan membawa permusuhan

Rahsia kasih sayang sesama, rahsianya sama-sama cintakan Tuhan

Kalau semua manusia berjuang untuk cintakan Tuhan tidak ada permusuhan,

tidak ada peperangan

Jika manusia seluruh dunia sama-sama cintakan Tuhan dunia aman

Marilah kita sama-sama berjuang cintakan Tuhan

Mari kita promosi Tuhan hingga dicinta orang

Ia membawa kasih sayang, ia membawa perpaduan

Ia membawa kejayaan dan keselamatan

Ia membawa kebahagiaan dan keharmonian

Ia menyelamatkan kita di dunia dan Akhirat

13.9.2004
AYAH


Takut Atau Cintakan Tuhan Adalah Sifat Hati

Menyebut takutkan Tuhan, senang, itu pada lisan

Takut itu adalah perasaan

Ia bertapak di dalam hati insan

Juga menyebut cintakan Tuhan,

senang itu adalah sebutan

Cintakan Tuhan itu dirasa oleh hati insan

Takut atau cintakan Tuhan adalah sifat hati

Ia bukan sifat lidah atau lisan

Sebutan dengan perasaan tidak sama

Perasaan di dalam hati, sebutan pada lisan

Di lisan hanya slogan, di hati adalah sifat seorang hamba

yang benar-benar kenal Tuhan

Kalau takut Tuhan atau cintakan Tuhan

bertapak di dalam hati hamba Tuhan

Kesannya kita boleh lihat di dalam kehidupan seseorang

Dia seorang yang lembut, tawadhuk, malu, tenang, sabar,

berlebih kurang, pemurah, pemaaf, mesra, kasih sayang

Takutkan Tuhan atau cintakan Tuhan

bukan boleh sekadar berslogan

Tidak cukup hanya sebutan pada lisan

Ia mestilah ditanamkan dari kecil lagi

untuk membangunkan perasaan

Apabila ia menjadi hati jantung insan barulah berkesan

15.11.2002
AYAH




Saturday, November 10, 2007

Cinta Yang Hakiki

Cinta Tuhan Cinta Yang Hakiki

Manusia mudah mencintai sesuatu yang dipandang mata

Juga manusia mudah mencintai sesuatu yang boleh difikirkan

Sedangkan mencintai sesuatu yang dilihat oleh mata

Atau yang mudah dapat difikirkan

Adalah cinta murahan

Mencintai yang dapat dikesan oleh hati atau jiwa, payah dikesan

Kerana akal dan mata selalunya membutakan hati

Selalunya akal dan mata membunuh jiwa

Kerana itulah hati dan jiwa tidak kenal Tuhannya

Lantaran itulah Tuhan sudah tidak dirindui dan dicintai

Padahal Tuhan itulah cinta yang hakiki dan sejati

Cinta Tuhan cinta yang kekal abadi

Cinta Tuhan, cinta yang membawa kebahagiaan yang berkekalan

Cintakan Tuhan adalah cinta martabat tertinggi

Rafiqul A’la, Sahabat Yang Tinggi Lagi Setia

Mencintai Rafiqul A’la tidak pernah kecewa

Mencintai Tuhan tidak pernah mengkhianati kita

Cinta yang menjadi pembela kita

Cinta yang menjadi pelindung kita di mana-mana

Cinta yang menyelamatkan kita dunia Akhirat

Cinta agung yang tidak ada tandingan dan bandingannya

Cinta yang kalau orang tahu

Bukan sahaja harta dan tenaga bahkan nyawa orang korbankan


14.11.99

AYAH

Friday, November 9, 2007

CINTAILAH TUHAN

Wahai yang empunya diri,

Dalam diri kita ini ada macam-macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani. Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, otak, saraf, saluran darah dan lain-lain lagi. Tersimpan juga dalam tubuh badan kita ini berbagai-bagai maklumat aqiliah seperti ilmu alam, matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia-rahsia peribadi dan individu-individu lain termaksuk maklumat tentang alam ghaib seperti syaitan, malaikat, alam kubur dan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini. Kecil tetapi berbagai khazanah ada di dalamnya. Tapi yang lebih hebat lagi di dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombangnya bertukar dengan rupa yang begitu pantas.

Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang-kadang pula sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Bukan itu saja, lautan rasa tadi boleh pula bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, selamat, rasa boleh serba serbi. Tiba-tiba dilanda pula rebut rasa derita, kecewa, putus asa, lara, terseksa, rasa diri tidak berguna, rasa hina, lemah, tak selamat, rasa serba tidak boleh. Disudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila pujian, gila wanita, gila lelaki, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, nak bunuh diri, nak bunuh orang, mengangkat diri, jatuhkan orang, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri dan macam-macam.

Namun janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakad itu. Ada pula jenis gelombang yang indah-indah melayari lautan rasa manusia hingga kita terbuai-buai oleh rasa-rasa sayang ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, jiran, kawan dan sesiapa sahaja yang baik. Sayang kucing, bunga, barang-barang, sayang kehidupan, sayang pekerjaan, rumah dan dunia. Seribu satu macam sayang berombak-ombak di dalam dada kita. Diiringi pula oleh rasa-rasa yang indah-indah seperti pemurah, pemaaf, peramah, rendah diri, meminta maaf dan rasa bersalah. Tapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling mahal dari semua itu iaitu Rasa Bertuhan. Yang dimaksudkan Rasa Bertuhan itu ialah rasa inginkan Tuhan sewaktu-waktunya semasa kita dalam kesusahan.

Inilah keajiban penciptaan, pemberi dan anugerah yang maha luas. Bagaimana dari sekujur tubuh ini penuh dengan lautan-lautan dalam yang memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa perekanya? Siapa perancang dan pencipta yang mengawal sistem super power ini? Bukankah Tuhan? Hanyalah Dia yang mampu. Hanya lah Dia dan Dia saja! Sebab Tuhan Yang Maha Agung ini telah memfirmankan di dalam Al-Quran bahawa:

"Sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik kejadian dan cipataan"

Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi. Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan segala kesempurnaan ciptaan itu. Iaitu dibekalkan benih taqwa yang mana dalam lautan hati dan roh mereka dipenuhi dengan rasa berTuhan sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta. Ia dapat menundukan keseluruhan rasa cinta hanya kepada cintakan Tuhan Yang Maha Agung. Perasaan-perasaan ini jika disuburkan, dibaja, diarahkan, akan mampu menjadikan manusia berhati malaikat, iaitu mengabdikan seluruh hidup, jiwa dan raganya dengan menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan di setiap degupan jantungnya. Hidup mati ditujukan kepada Allah semata-mata. Ini lah yang Allah SWT maksudkan:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku”

Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta murahan inilah yang direbutkan sedangkan cinta Allah dibiarkan.

Wahai yang empunya diri,

Siapa yang kenal dirinya nscaya dia akan kenal Tuhannya. Renungilah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab kita semua, kepunyaan kita bukan kita yang mengawalnya. Bukan kita yang mentadbir, menguruskannya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50-60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya bukan kawalan kita semua. Selamat atau tidaknya diri kita bukan kita yang menentukannya. Bila jantung akan berhenti bedegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya! Apakah kita tidak perasaan bahawa seluruh keajiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh itu siapakah yang memulakan dan mengakhir itu? Sedangkan yang empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya Tuhan!

Fitrah kita menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama dengan rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai hamba Allah. Tapi marah kiranya ada orang menuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dan lain-lain. Pelik kita ini. Macam-macam yang dicintai tapi marah kalau dikaitkan dengan banyak-banyak hal itu. Sebab cinta itu murah. Sedangkan cinta Tuhan itu tersangat lah mahal.

Kenapa kita tidak membaja cinta kepada Tuhan? Sedangkan cinta girlfriend dan boyfriend itu begitu dipupuk? Sayangkan anak dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa dibesar-besarkan. Sayangkan dunia, pangkat, kereta dan lain-lain bertakhta di hati. Sanggup kita mati kerananya! Walhal semua kesayangan itu ia pernah ada dan pernah tiada. Sedangkan Tuhan, Dialah memberi nafas buat kita, memberi makan, rezki ingatan untuk kita. Dia juga yang memberi orang-orang yang kita kasihi umpamanya anak, isteri dan ibu bapa. Kerana Tuhanlah manusianya kita, tidur lena kita, rezki kita, senyum tangis kita, nikah kahwin kita, miskin kaya kita, sakit sihat kita, tua muda kita, baik jahat kita, pandai bodoh kita, hidup mati kita, pandangan, penglihatan, pendengaran, beranak tidaknya kita, mulia hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang pun di tangan Tuhan jugalah.

Sesungguhnya Tuhan adalah segalanya. Tuhan sangat sayangkan manusia. Dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Oleh itu marilah kita belajar semula untuk mencintai Yang Maha Agung. Cinta Agung kita kepada Alah SWT dan jadikan lah Tuhan tempat rujuk kita.

“Wahai Tuhan ajarlah kami untuk mencintaimu.Amin ya rabbal alamin.”