Monday, April 2, 2012

EGO BERTEMU EGO


Segala-galanya sudah terlambat. Semuanya sudah terlanjur. Tak ada apa yang hendak dikesalkan lagi. Saya terpaksa menjalani hukuman atas keterlanjuran yang memang saya sengajakan. Nak berpusing ke belakang dah tak boleh. Mahu tak mahu saya terpaksa menanti hari untuk mengadap pegawai kami yang dikenali sebagi Majer Nordin. Orangnya berkumis tebal, mata galak dan air muka yang agak serius lagi garang di tambah dengan suara yang garau dan kasar.

Entah mengapa kokurikulum badan beruniform ini yang saya pilih sebagai kokurikulum wajib yang perlu diikuti disalah sebuah IPTA di ibukota ini. Padahal banyak kokurikulum lain yang saya boleh pilih. Tapi badan beruniform ini juga yang saya pilih. Saya tersalah pilih atau saya sengaja memperbodohkan diri memilihnya? Yang pastinya kerana asyik tak nak berpisah dengan kawan-kawan yang tinggal satu dorm. Mereka semua memilih latihan kawad kaki maka saya pun tak mahu ketinggalan. Main ikut membabi buta tanpa berfikir samada saya mampu atau tidak mengikuti latihan-latihan tersebut. Bila dah berkumpul di tengah-tengah padang baru lah dada saya berombak-ombak. Sesak nafas saya untuk menjalani latihan yang tak ubah macam tentera. Ditambah lagi perkara yang paling saya benci dan sakit telinga bila mendengar maki hamun dari pelatih-pelatih kami setelah kami membuat pelbagai kesilapan.

Minggu berganti minggu lama kelamaan saya dah tak bersemangat lagi nak ke padang kawad. Hari-hari saya ponteng. Kebiasaanya selepas solat asar kawan-kawan satu dorm sibuk berebut-rebut menyiapkan diri tapi saya buat tak tahu aje. Hari ini saya ponteng, esok saya ponteng dan begitulah hingga masuk dua minggu lamanya saya tak ke padang kawad. Walaupun puas kawan sebilik memujuk saya pergi mengikuti latihan di padang kawad, saya nekad tak mahu pergi. Semuanya takut bila Majer Nordin mengamuk di padang kawad bila dia mendapati saya sudah dua minggu tak hadirkan diri untuk berlatih.

‘Mana Ummu? Kenapa tak datang ? Dah mampus ke dia?’

Kata kawan-kawan saya dia asyik marah dan mengutuk-ngutuk saya di padang kawad.

Ungkapan yang paling dia suka gunakan pada saya ialah ‘Ummu dah mampus ke??’. Ahh memang saya dah mampus! Jiwa saya sudah mati. Saya sudah tak ada semangat untuk terus mengikuti latihan kawad ini lagi. Saya mula mengambil kira untuk menukar sahaja latihan kokurikulum lain. Entahlah saya tak tahu mengapa? Saya rasa latihan ini tak sesuai dengan jiwa keperempuanan saya. Atau saya yang bersikap sangat ego tak mahu tunduk dengan arahan dan peraturan mereka? Pastinya sifat ego dan tidak mahu mengikuti peraturan telah memakan diri saya sendiri. Itulah saya sewaktu remaja ketika di salah sebuah IPTA beberapa belas tahun yang lalu.

Akhirnya saya terpaksa berhadapan dengan Majer Nordin di bilik kaunseling. Bila saya melangkah masuk pejabat Majer Nordin, dari jauh lagi dia sudah menjerit. Apa lagi terkeluar lah segala maki hamun untuk saya. Semua staf di dalam pejabat berpusing arah memandang saya. Perasaan malu tiba-tiba meyelubungi diri saya. Perit telinga! Barulah saya dapat rasakan bagaimana perasaan bila dimarahi dengan bekas ahli tentera ini. Sebelum ini saya hanya dapat melihat rekrut-rekrut kena marah dengan bos masing-masing. Kalau suara si tua tu dah jerkah saya macam hililintar apa lagi rasa macam nak pecah gegendang telinga. Tambah bila saya tenguk muka Majer Nordin dah tak ubah macam muka King Kong. Eee… buruk betul muka si tua ni bila marah terpekik-pekik. Saya buat-buat pekak badak ajelah. Pada mulanya semua mata staf mengerling ke arah saya tetapi bila mendengar suara Majer Nordin memekik tiba-tiba mereka semua tunduk buat kerja masing-masing. Tak seorang pun yang berani nak bercakap antara satu sama lain. Untuk memandang saya apatah lagi. Saya pun tundukkan muka. Tak berani nak membela diri. Mengaku salah itulah yang lebih baik buat masa ini supaya situa ini cepat berhenti marahnya.

Tiba-tiba Majer Nordin bertanya? ‘Awak kenal saya?’

‘Kenal Tuan’

‘Kalau awak kenal cuba awak sebut nama penuh saya dengan nama bapa saya sekali.’

MasyAllah namanya saya tahu lah tapi nama bapaknya saya tak ingat. Almaklumlah kena sergah mana saya nak ingat. Kat name tag yang dia pakai pun tak ada pula tertulis nama ayahnya. Aduh…perangkap ni! Saya masuk perangkap lagi!

‘Kenapa awak diam?’

‘Saya tahu nama Tuan … tapi nama ayah Tuan saya tak tahu.’

Apalagi…si tua ni pun menjerit ‘ Kenapa awak tak tahu nama penuh Cik gu awak sendiri?’

‘Sebab saya selalu tak ikut latihan kawad tuan.’sepontan saya menjawab.

Sebenarnya itulah jawapan yang dia mahu dari mulut saya, iaitu pengakuan kesalahan yang saya dah buat selama dua minggu ni.

Tiba-tiba muka majer Nordin yang serius berubah manis sedikit dan suaranya pun tiba-tiba kendur… Agaknya situa ni dah semput kot!

‘Mengaku pun awak yaa.. Sekarang awak balik asrama dan tulis atas kertas tiga puluh ribu patah perkataan ‘NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT’sebagai hukuman untuk awak. Minggu depan hantar ke pejabat saya. Paham?’

Itu jeeee??? Hati saya berbisik. Ingat nak kena gantung belajar ke atau kena lari kat padang kawad barang 10 atau 20 round ke, atau bla, bla, bla…Ahhh tapi saya dah malu nak berdiri lama-lama dalam pejabat ni. Gayanya cikgu Nordin macam dah semput dan macam dah menyampah tengok muka saya. Apa yang saya fikirkan terbaik saat itu ialah berundur diri cepat-cepat sebelum dia berubah fikiran untuk menambah hukuman keatas saya. Malahan dia pun dah suruh saya balik asrama…Famous dan glamour lah saya semester ni!!Padan muka saya!!!

Orang lain dah tidur atas katil masing-masing. Saya masih lagi menulis atas helaian-helaian kertas

NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT

NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT

NAMA CIKGU SAYA NORDIN BIN SELAMAT

Sedang tangan saya ligat menulis…tiba-tiba saya teringat empat hari lagi Cuti Semester. Ahhh….(saya mengeluh) sambil itu saya merenyuk-renyuk semua kertas yang saya tulis tadi lalu saya campakkan semuanya ke dalam tong sampah.. Saya berlalu pergi menuju kekatil dan saya ucapkan SELAMAT TINGGAL CIKGU NORDIN SEMESTER DEPAN KITA TAK JUMPA LAGI ………. Pastinya saya akan tukar kokurikulum lain…..

EGO

Ego, sombong atau takbur adalah sifat mazmumah mendekati kekufuran

Ia bermula daripada sikap iblis terhadap Adam

Kalau dibiarkan hingga subur mudah membawa kepada kekufuran

Sama ada secara sedar atau tidak sedar

Macam adil, salah satu sifat mahmudah mendekati taqwa

Tambah sedikit sahaja lagi sifat taqwa itu pun dapat dicapai

Sifat-sifat mazmumah yang lain seperti di bawah ini

Atau dia buah-buah yang lahir daripada satu pokok

yang dinamakan ego atau takbur

Ego adalah pokok boleh melahirkan

berbagai-bagai buah mazmumah yang banyak jika disuburkan

Di sini dibawa beberapa contoh untuk mudah difaham

Seseorang yang sombong jika tersinggung

marahnya pun datang dan merangsang

Dia datang meluap-luap tanpa dapat ditahan-tahan

Sama ada di hadapan orang sedikit mahupun orang ramai

Marahnya membakar, matanya merah, badan menggeletar

Jika dia tahu ada orang lebih darinya

Sama ada ilmu, harta, pengikut, pengaruh,

Wah! Hasad dengki membakar

Jiwanya menggelisah tidak tentu arah

Kalau orang itu pula mencabar

Wah! Dendam kesumatnya pun

macam gunung berapi menunggu keluar lahar

Jika bertukar fikiran dengan orang dia membantah tidak sabar-sabar

Bertelagah, membantah, sekalipun orang itu benar

Sekiranya melihat orang bawahnya yang hina-dina

hatinya jijik, bibir mencemik

Melahirkan rasa benci atau menghina yang datang dari hati

Kalau orang memberi nasihat hatinya sakit

Dengan orang susah hendak berkawan

Jika ada orang bawahnya tersalah

Aduh! Tengking herdiknya macam muntah yang keluar

Keluarlah bahasa-bahasa kesat yang sangat dahsyat

Kalau dia ada jasa minta dipuji dan disanjung tinggi

Jika dia ada kuasa, nama dan glamor minta dihormati pula

Susah hendak memuji orang

Payah mahu hormat

Orang yang mempunyai sifat ego atau sombong ini jika ada kuasa

Aduh! Musuh-musuhnya tidak ada maaf, dibelasahnya

Kawan setia pun dia boleh khianat

Jauhilah sifat sombong dia amat bahaya

Sesiapa memilikinya mudah sahaja jatuh kepada kufur, wal’iyazubillah

AYAH

12.11.2002

No comments: