Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kalau aku berjalan kemana-mana pasti akan ternampak bendera Malaysia berkibar di sana sini. Yang pastinya semua jabatan-jabatan kerajaan, pejabat-pejabat, sekolah-sekolah, permis-permis perniagaan malah di kenderaan-kenderaan awam mahu pun kenderaan persendirian sudah berkibar dengan megahnya bendera Malaysia kita. Lori, bas, kereta, van, teksi , mahupun beca roda tiga malah basikal pun ada. Begitulah semangat patriotik rakyat Malaysia kita. Kibaran bendera itu seolah-olah mewakili kibaran semangat anak jati Malaysia yang kental berusaha mendapatkan kemerdekaan untuk Negara dari tangan penjajah. Memang patutlah kita berterima kasih kepada semangat perwira Negara Tuanku Abdul Rahman dan sahabat-sahabat seperjuangannya yang telah berusaha gigih memerdekakan Negara kita ini. Semoga Allah sahajalah yang melimpahi rahmat dan kasih sayang buat roh-roh mereka. Amin ya Allah…
Di premis aku berniaga pun masing-masing juga cuba menceriakan kedai dengan menggantungkan bendera Malaysia. Ada yang gantung bendera memanjang kebawah, ada juga yang menggantungnya melintang dan ada juga yang pakai buluh, pakai tali dan entah pelbagai cara dan susunan tak kira lah asalkan semangat patriotik tergantung sama dan tersemat dihati hingga dibawa kematilah. Malah masjid yang memang terletak berhampiran tempat aku berniaga pun tergantung banyak bendera di tiang-tiang luar masjid walaupun benderanya nampak usang sekali. Tak apalah janji ada. Mungkin tahun ini tak ada orang nak sponsor bendera baru untuk masjid insyaAllah tahun depan mungkin ada kot.
Macamana pulak dengan aku. Kat rumah belum pasang di kedai pun belum pasang bendera lagi. Sedangkan jiran-jiran sebelah rumah ada yang dah pasang tapi aku masih macam tunggul lagi. Tak ada semangat patriotik ke? Ehhh bukan gitu. InsyaAllah esok lusa aku keluar lah ke bandar nak beli bendera baru.Bukan apa tiap-tiap tahun kalau nak sambut bulan kemerdekaan ini lah yang jadi aku fobia. Kadang-kadang macam malas pun ada.
Hemmm tiap kali bendera dipasang ada lah hantu kuntilanak yang mencurinya.
Kejadian kecurian bendera ni bukan aku seorang malah ramai yang mengadu. Seorang jiran tempat aku berniaga pernah mengadu bendera yang dia pasang kat depan rumah pakai buluh panjang dah kena curi. Entah mana gayalah si pencuri tu mencuri tak tahu lah. Diwaktu yang sama juga aku pun pernah ternampak dua orang budak memboceng basikal membawa bendera dengan buluh yang panjang mengibar-gibar di sepanjang jalan.
Pasti lah ini semua kerja budak-budak nakal kalau tak siapa lagi. Tak kan orang tua pulak yang nak mencuri. Nak dibuat apa orang tua yang buat kerja tu. Takan lah nak jual balik bendera tu entah berapa sen lah yang laku? Tak tahulah aku kalau depa mencuri nak buat baju ke, nak buat alas meja ke. Hisssh berdosa pulak aku main tuduh-tuduh ya. Jadinya kalau nak pasang bendera kena tinggi-tinggi tak pun rumah kena lah berpagar.Ahh lupakan saja lah pasal kecurian tu. Tapi berdosa tau orang yang suka mencuri ni. Kalau duduk kat Mekah dah tentu kena potong tangan.
Kadang-kadang aku tertanya juga kenapa nak curi bendera? Agaknya dia orang ni ada semangat kemerdekaan tapi sebab malas nak membeli main sapu je lah. Ini kah erti semangat kemerdekaan? Apakah merdeka itu ertinya kita boleh membuat apa saja? Tak kira langgar hukum ,adat serta undang-undang? Inikah kemerdekaan yang terserap di jiwa anak-anak kita? Tak kan lah dek kerana nak menggemilangkan bendera Malaysia itu sanggup mencuri? Merdeka apa ini?
Aku terkenang cerita seorang rakan aku pada tahun 2005. Ketika itu dia nampak sedikit moody lantas aku bertanya kepadanya. “Kenapa hari ini moody aje?” sambil tersenyum hambar dia menjawab “ ko tahu anak aku semalam bukan main gembira kayuh basikal keliling kampung tiba-tiba pagi ini basikalnya hilang.” Dengan kehairanan aku bertanya “Kenapa jadi macam tu?” Dia pun menjawab pertanyaan aku dengan selambanya “ Alah ummu…..yang curi tu budak sekampung juga. Dia nak sangat bendera besar yang anak aku pacak kat belakang basikal tu. Tapi tak dapat nak tanggalkan dia ambil le dengan basikal-basikalnya sekali." Setelah mendengar cerita tu aku pun ketawa…dalam hati berbisik “tak sangka bulan kemerdekaan juga dipenuhi dengan isu kecurian bendera Malaysia.”
Aku kira dah sampai masanya orang-orang yang bertanggungjawab dalam syarikat pengiklanan ke, guru-guru sekolah ke mahu pun pensyarah-pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi mula mengetengahkan isu kecurian bendera di bulan kemerdekaan. Tapi aku macam biasalah. Aku akan mengetengahkan apa erti kemerdekaan menurut pandangan AYAH SUFI dalam sajak-sajaknya.
Erti Kemerdekaan
Merdeka bukan ertinya boleh buat apa sahaja
Dengan tidak memikirkan halal dan haramnya
Merdeka bukan bermakna membina dan mencetuskan apa sahaja
Dengan tidak memikirkan pantang-larang Tuhannya
Merdeka bukan ertinya boleh melakukan apa sahaja yang dikehendak oleh nafsu
Dengan tidak memikirkan syariat Tuhannya
Merdeka bukan ertinya bebas tanpa batas
Merdeka kita bebas dari penjajah
Tapi tidak bebas di dalam semua hal dengan Tuhannya
Tiadanya penjajah kita bebas memilih identiti kita sendiri
Kita bebas untuk rujuk kepada Tuhan
Kita bebas memilih cara hidup Sunnah Nabi
Kalau bebas membuat apa sahaja
Ertinya manusia yang telah hilang kemanusiaannya
Nafsu telah bermaharajalela, syaitan telah menjadi kawan
Apa akan jadi kepada dunia
Kalau manusia berperangai syaitan dan haiwan
AYAH SUFI
Ogos 99
Mengisi kemerdekaan lebih payah
Memperjuangkan kemerdekaan lebih mudah daripada mengisinya
Berjuang ke arah kemerdekaan oleh semua rakyat dan setiap golongan hanya satu matlamat
Matlamat menghalau penjajah dengan tujuan mendapat kemenangan
Di waktu itu kesatuan lahir pada bangsa itu agak nampak
Di waktu berjuang mendapat kemerdekaan krisis sesama sendiri kurang
Tetapi apabila telah mencapai kemerdekaan untuk mengisinya amat susah dan banyak cabaran
Kalau dahulunya semua rakyat dan golongan hanya satu matlamat
Setelah merdeka matlamat mengisinya sudah banyak matlamat dan sudah banyak kehendak dan cita-cita
Ada cita-cita peribadi, ada cita-cita parti mengikut ideologi dan prinsip parti
Setiap parti yang mempunyai ideologi ada mempunyai cita-cita yang sendiri
Selepas merdeka masing-masing berjuang mengikut keyakinan dan ideologi parti
Kalau dahulunya hanya satu matlamat sekarang sudah banyak matlamat
Di dalam berjuang untuk mengisi kemerdekaan datanglah cabaran daripada parti-parti yang berlainan ism
Satu sama lain tidak sehaluan
Musuh daripada luar pula mengambil peluang
Masing-masing mengaku dialah yang paling benar dan patut diberi sokongan
Maka terjadilah perang ideologi, perang prinsip, perang teknik
Berlakulah perang mulut, perang saikologi, perang dingin
Makin lama makin panas, makin lama makin ganas
Berbalah-balah.... terjadi, tuduh-menuduh, khianat-mengkhianati, serang-menyerang
Makin jauh makin runcing dan gawat, berlakulah pembunuhan, mungkin peperangan saudara dan di antara etnik
Di dalam suasana itulah membangunnya, bagaimana hendak lancar dan cepat
Ada yang hendak membangun, ada yang hendak meruntuhkan
Ada yang hendak maju, ada pula yang berusaha hendak memundurkan
Di dalam ada yang hendak mempersatukan rakyat, ada golongan yang hendak memecahbelahkan
Berlakulah sabotaj di sana, sabotaj di sini
Membangun dan membuat kemajuan di dalam masa krisis yang hebat tidak habis itu
Didik rakyat tidak sempat, atau tidak serius atau tidak minat atau tidak faham
Maka timbul pulalah gejala-gejala lain di dalam masyarakat bangsa dan negara
Pemuda-pemudi berlepak-lepak membuang masa disinilah berlaku rogol, zina, liwat, buang bayi
Perkelahian, pembunuhan, vandalism yang tidak terkawal
Sogok-menyogok, rasuah-merasuah, tipu daya, khianat berlaku di dalam negara
Rakyat terbiar, hiduplah mereka di dalam kemiskinan, akhlak rosak
Beginilah keadaan hampir semua negara-negara yang pernah dijajah
Hendak pulih semula amat susah memerlukan pemimpin yang dibantu Tuhan
AYAH SUFI
1.9.2001