Sunday, August 19, 2007

SAYA ORANG BERIMAN???

(sila klik pada gambar untuk dibesarkan)

Hari ini aku lalui kehidupan seperti biasa. Cuma teruji sedikit boleh dikatakan seisi rumah semuanya tak sihat. Batuk-batuk, selsema dan demam. Kebetulan hari ini bermula cuti sekolah penggal kedua disebabkan semuanya tidak sihat kami sekeluarga memang tidak ada rancangan nak kemana-mana. Duk rumah aje lah. Dalam sakit-sakit ni terpaksa jugalah aku mengemas rumah tak sanggup nak membiarkan rumah bersepah-sepah. Lagi sakit dibuatnya bila melihat rumah bersepah. Dalam pada aku sibuk menyusun-nyusun surat khabar tiba-tiba terpandang satu helaian akhbar yang ada lukisan komik di dalamnya dan agak melucukan. Ha ah komik katun oleh Dee. Kalau tak silap komik ni keluar dalam akhbar Utusan Malaysia dah dua minggu dari tarikh aku menulis blog ni. Aku ketawa sinis aje dengan komik ni. Memang lucu, satu sindiran yang bersahaja. Aku berbisik didalam hati “Perasan.” Ehh sama juga macam dialog bos nya “Chis..!perasan.” Tapi bila melihat dan membaca komik ini tiba-tiba teringat kembali imbauan beberapa tahun yang lalu ketika aku sedang mengikuti kelas pengajian ayah sufi. Ketika itu ayah sufi membuat kuliah khas tentang iman dan takwa.Ungkapan pertama dari mulut ayah sufi ketika itu “Siapa boleh terangkan kepada ayah apakah perbezaan antara Islam, mukmin dan taqwa?”. Semua menundukan kepala. Tak berani nak dongak ke atas. Kang kalau bertembung mata dah tentu kena panggil nama dan kena jawab. “Ahh janganlah aku yang dipanggil” aku berbisik didalam hati. Malah anak-anak kuliah ayah sufi yang lain pun semuanya tawaduk tunduk ke bawah.

Hemm bukan ayah sufi tak tahu perilaku kami. Akhirnya dia terus memberi jawapan. Dia yang menyoal dia juga yang menjawap “Begini..” Ayah sufi memulakan bicara. “Istilah Islam, mukmin dan taqwa sering kita dengar. Umumnya ia berkaitan dengan orang beragama Islam. Tapi maksudnya tidak sama. Terdapat perbezaan antara orang Islam, mukmin dan taqwa. Orang Islam tidak dikatakan masuk iman atau mukmin. Orang yang masuk Islam tidak dikatakan sebagai orang beriman. Lebih-lebih lagi tidak dikatakan ia orang bertaqwa.Istilah yang dipakai ialah dia orang Islam atau muslim. Secara umumnya itulah umat Islam.Mereka tidak dikaitkan dengan iman dan taqwa kerana iman dan taqwa adalah perkara yang berbeza.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda, “Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur, “Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakan sahaja kamu sudah Islam.”

Untuk menjadi orang Islam mudah tapi untuk menjadi orang beriman lebih-lebih lagi orang bertaqwa amat lah payah. Di antara orang mukmin dengan orang Islam sangat jauh bezanya. Kata ayah sufi kalau kita hendak buat misalan bolehlah kita kata Islam itu ibarat sebuah taman yang indah, yang di dalam taman itu ada pokok buah-buahan, bunga-bungan dan sayur-sayuran. Orang masuk Islam itu sebenarnya baru masuk dan berada di pintu taman itu. Dia baru ambil tiket untuk membolehkan dia jelajah taman. “Syahadah” tu ibarat tiket semata-mata. Dia masih belum tahu lagi apa yang ada di dalam taman. Sedangkan dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan. Ada keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan, keindahan pendengaran dan lain-lain.



Manakala orang mukmin pula dia sudah menjelajah taman. Dia sudah round satu taman tu. Dia sudah lihat keindahan taman. Orang bertaqwa pula dia sudah makan dan merasa semua buah-buahan dan sayuran dalam taman itu. Maka kedudukan orang bertaqwa lah yang paling tinggi.

Atau kalau nak contoh lagi Islam ibarat kulit buah iaitu benda luar, benda lahir atau benda yang nampak. Iman adalah isinya manakala rasa isi itu adalah taqwa. Soal isi dan rasa, itu soal batin atau soal rohaniah. Kulit buah itu ibarat Islam, seperti syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain. Mungkin tambah lagi dengan sedekah atau menuntut ilmu. Itu kulit. Itu Islam.


Kalau kita hendak beli buah, adakah kita hendak makan kulit atau isi? Tentu isi. Tetapi perlu ingat kalau kulit cacat kita tidak akan beli buah itu walaupun bukan kulit yang hendak dimakan. Kalau kulit tidak elok, kita tidak beli. Tetapi ada juga buah yang kulitnya cantik dan elok tetapi di dalamnya ada ulat. Kalau kulit baik, belum tentu isinya baik, tetapi kalau kulit rosak sudah tentu, confirm yang di dalamnya rosak. Tidak semestinya kulit yang elok menggambarkan rasa isi yang sedap.Katalah isi elok, namun belum tentu rasanya sedap. Kalau isi elok, boleh dimakan tetapi belum tentu rasanya sedap. Isi elok itu tamsilan orang mukmin. Rasa sedap itu tamsilan orang bertaqwa

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud, namun, kalau ciri Islam wujud pada seseorang belum tentu ciri mukmin juga ada. Iman itu hakikat dan Islam itu syariat, iman itu bersifat rohaniah dan Islam itu bersifat lahiriah.

Tiba-tiba spontan ayah sufi menyoal kami lagi “Apa beza iman dengan taqwa.” Tak ada sesiapa yang sempat nak menjawab sebab ayah sufi terus menjawab.”Taqwa sering dikaitkan oleh Allah dengan iman. Bahkan taqwa bermula dari iman. Taqwa tumbuh dari iman. Iman adalah perkara asas yang perlu ditanam ke dalam hati seseorang terlebih dahulu. Apabila iman yang ditanam itu sudah sejati barulah akan lahir taqwa dalam diri seseorang. Orang beriman belum tentu bertaqwa. Tetapi orang yang bertaqwa sudah tentu dia beriman. Iman pula berperingkat-peringkat. Tidak semua peringkat iman boleh menghasilkan taqwa.”

Kami semua mengangguk-angguk tanda setuju. Sedangkan aku pula asyik leka menyalin nota kuliah tetiba terkejut bila ayah sufi minta aku berikan peringkat-peringkat iman. Jawab jugalah tapi tak lengkap. Gayah sebelah aku pula tolong sambungkan pun tak lengkap. Akhirnya Tuan Hj Zaki yang bantu melengkapkannya. Hemmm ayah sufi angguk-angguk tanda setuju. Aku dan Gayah tunduk malu terasa pula macam tak lengkap lagi ilmu iman kami ni. Ah terlupa.. dah tua bergini semuanya lupa. Ayah sufi pun mencatit didepan white bord peringkat-peringkat iman tadi. Aku cepat-cepat salin.

PERINGKAT IMAN

Iman taqlid

Iman ilmu

Iman ‘ayyan

Iman hak

Iman hakikat

Terus ayah sufi menyambung kuliahnya “Iman orang taqlid seumpama iman ikut-ikutan.imannya tepat iaitu dia percaya kepada Allah dan Rasul tetapi kepercayaannya tanpa dalil, tanpa keterangan dan ilmu pengetahuan. Orang begini tidak kuat dan tidak teguh imannya. Imannya mudah goyang.

Iman ahli ilmu macam tu juga. Imannya tepat. Tetapi walaupun keyakinannya kepada Allah dan Rasul dapat disokong dengn dalil-dalil, keterangan dan hujah-hujah namun iman peringkat ini baru sah. Jiwanya belum kuat sedangkan kekuatan seseorang pada jiwanya. Iman seperti ini belum sanggup melawan syaitan dan hawa nafsu, kerana itu itu orang yang imannya ditahap ilmu masih melanggar perintah Allah dalam sedar. Orang yang mempunyai iman ilmu hanya pandai berkata-kata kerana dia ada ilmu tetapi tidak mengotakan kata. Mereka adalah mukmin yang ‘asi (derhaka) atau mukmin yang fasik atau mukmin yang berpura-pura.

Iman ‘ayyan pula adalah orang yang sentiasa sedar bahawa Allah Taala sentiasa mengawasi dirinya. Kalau iman ilmu keyakinannya bertempat di fikiran manakala iman ‘ayyan keyakinannya bertempat di hati. Dengan kata-kata lain hatinya sentiasa dapat merasakan kehebatan Allah. Hatinya sentiasa takut kepada Allah dan kuat sekali penyerahan dirinya kepada Allah

Iman paling baik ialah iman haq dan iman haqiqat. Dengan kata yang lain iman hak dan iman hakikat disebut juga iman yang sebenar. Mereka tidak terpesona langsung kepada keindahan dan keseronokan duniawi. Cintanya penuh kepada Allah. Hatinya tidak langsung dapat dilalaikan oleh nafsu dan syaitan. Nafsunya benar-benar telah ditundukkan dan syaitan tidak lagi berani menghampirinya. Ini adalah merupakan kemuncak iman bagi orang-orang yang hampir dengan Allah atau apa yang dinamakan golongan muqarrabbin kerana mereka sangat bertaqwa dan kuat penyerahan dirinya kepada Allah.”

Itu lah pengalaman aku ketika bersama-sama rakan-rakan yang lain mengikuti kuliah ayah sufi. Terima kasih kepada kartunis Dee. Kerana kartun Dee telah membawa aku kembali mengingati majlis ilmu ayah sufi…….


No comments: