Sunday, November 11, 2007

MENCINTAI TUHAN

Tuhan Adalah Cinta Agung

Aku tahu Engkau Tuhan adalah cinta agung,

Aku pun mahu mencintaiMu

Aku tahu mencintaiMu amat perlu,

Ia kemuncak daripada segala kebahagiaan

Aku berusaha ke arah itu,

tapi cintaku padaMu Tuhan

selalu sahaja terganggu,

Banyak yang mengganggu,

Nafsuku yang jahat, syaitan terkutuk

Dunia yang mempesona menggamit-gamit selalu,

Di waktu itu lupa aku padaMu,

Cinta sudah tentu jauh sekali,

sekali-sekala cintaku padaMu datang juga,

walaupun sedikit, terasa indahnya

Kemudian lupa lagi

Adakalanya lupaku padaMu

berpanjangan sekali

Kemudian sekali-sekala tersedar kembali,

Engkau adalah cinta agung,

Engkau patut dicintai

selepas itu lupa lagi,

Begitulah cintaku padaMu dengan kelalaianku

silih berganti Tuhan,

Dengan hati yang sedih ini tolonglah aku,

dengan rahmatMu,

Bantulah aku untuk mencintaiMu

Agar cinta yang palsu itu

terbunuh dengan sendiri

Itulah harapanku padaMu

OLEH AYAH


CINTAILAH TUHAN

Cintakan Tuhan tidak ada apa-apa masalah

Sama-sama cintakan Tuhan tidak ada saingan, tidak ada perbalahan

Sama-sama cintakan Tuhan tidak ada rebutan

Sama-sama cintakan Tuhan tidak ada hasad dengki tidak ada perga

duhan

Setiap orang cintakan Tuhan semua dapat layanan

Seramai manapun orang inginkan cinta Tuhan semuanya dapat balasan cinta Tuhan

Sama-sama perjuangkan tidak ada pertarungan

Semua orang cintakan Tuhan, semua dapat, setiap orang dilayan Tuhan

Tidak ada orang yang kecewa

Cintakan selain Tuhan ada yang dapat ada yang kecewa

Terpaksa bertarung sesama

Perbalahan pun datang, pergaduhan pun tiba bahkan terjadi peperangan sesama

Cinta selain Tuhan tidak boleh dibalas semua

Sedikit yang dapat ramai yang kecewa

Akhirnya bermasam-masam muka sesama

Sesama cintakan Tuhan membawa kasih sayang dan perpaduan

Cintakan selain Tuhan membawa permusuhan

Rahsia kasih sayang sesama, rahsianya sama-sama cintakan Tuhan

Kalau semua manusia berjuang untuk cintakan Tuhan tidak ada permusuhan,

tidak ada peperangan

Jika manusia seluruh dunia sama-sama cintakan Tuhan dunia aman

Marilah kita sama-sama berjuang cintakan Tuhan

Mari kita promosi Tuhan hingga dicinta orang

Ia membawa kasih sayang, ia membawa perpaduan

Ia membawa kejayaan dan keselamatan

Ia membawa kebahagiaan dan keharmonian

Ia menyelamatkan kita di dunia dan Akhirat

13.9.2004
AYAH


Takut Atau Cintakan Tuhan Adalah Sifat Hati

Menyebut takutkan Tuhan, senang, itu pada lisan

Takut itu adalah perasaan

Ia bertapak di dalam hati insan

Juga menyebut cintakan Tuhan,

senang itu adalah sebutan

Cintakan Tuhan itu dirasa oleh hati insan

Takut atau cintakan Tuhan adalah sifat hati

Ia bukan sifat lidah atau lisan

Sebutan dengan perasaan tidak sama

Perasaan di dalam hati, sebutan pada lisan

Di lisan hanya slogan, di hati adalah sifat seorang hamba

yang benar-benar kenal Tuhan

Kalau takut Tuhan atau cintakan Tuhan

bertapak di dalam hati hamba Tuhan

Kesannya kita boleh lihat di dalam kehidupan seseorang

Dia seorang yang lembut, tawadhuk, malu, tenang, sabar,

berlebih kurang, pemurah, pemaaf, mesra, kasih sayang

Takutkan Tuhan atau cintakan Tuhan

bukan boleh sekadar berslogan

Tidak cukup hanya sebutan pada lisan

Ia mestilah ditanamkan dari kecil lagi

untuk membangunkan perasaan

Apabila ia menjadi hati jantung insan barulah berkesan

15.11.2002
AYAH




No comments: