Rupa-rupanya esok dah mula umat Islam menyambut kedatangan Ramadhan. Kejam celik, kejam celik dah masuk bulan puasa. Rasa cepat sungguh pusingan masa berlalu dan bulan mendatang. Begitulah luahan kenalan-kenalan aku yang datang mengunjungi ke kedai.
Ia lah esok dah puasa . Malam ni dah tentu para-para ibu sibuk nak menyediakan juadah bersahur. Maka jadual makan minum dah mula lah bertukar waktu. Kalau dulu sarapan paling cepat pukul 5 pagi atau 6 pagi dah kena sediakan. Tapi sekarang dah kena tukar paling cepat pukul 3 pagi atau pukul 4 pagi. Makan tengahari tak ada. Tapi petang dah bergegas nak masak pulak. Kalau suri rumah sepenuh masa sebelah tengahari dah boleh mula menyiapkan juadah berbuka. Tapi kalau yang balik kerja lewat jenuh juga lah nak berebut-rebut memasak. Tapi semua para ibu memang pandai menjadualkan waktu. Kalau tak pandai pun terutama yang baru mendirikan rumahtangga lama-lama melaluinya akan pandai juga akhirnya. Alhamdulillah kalau dapat suami yang memahami dan ringan tulang kuranglah sikit bebanan para ibu.
Aku pula macam biasa. Rasanya kalau bab menyediakan juadah bersahur dan berbuka tak jadi masalah. Tapi bab-bab nak mengejutkan anak-anak bersahur ini lah yang menjadi masalah. Emm … kerja tu biasanya aku serahkan aje kat suami aku. Biasalah anak-anak ni kalau suara mak yang mengejutkan tak terbangunnya. Sebab suara maknya tu agaknya selembut sutera. Jadi kalau mereka dengar mak yang kejutkan macam dengar hembusan angin aje. Sesejuk angin menghembus sekuat itulah selimut ditarik lagi. Kalau si uda pulak bukan selimut yang dia tarik, tapi lagi dikejut lagi kuat bantal yang dipeluk ditutupkan mukanya. Agaknya dia ingat bayangan hantu yang kejutkan dia. Tapi kalau ayahnya yang kejut, nak tak nak semuanya senang nak bangun. Ada kelainan, itulah istimewa lelaki yang bernama suami. Dan aku bersyukur kerana bulan Ramadhan tahun ini masih Allah sudi mengizinkan aku meraikan puasa bersama suami dan anak-anak . “Terima kasih Tuhan aku hulurkan ungkapan ini buat mu wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”.
Tiba-tiba teringat pula aku dengan tempahan baju-baju pelanggan. Memang mengerikan kalau tempahan-tempahan tak dapat disiapkan. Waktu ini lah pergantungan dan harapan dengan Tuhan kena kuat. Bukan mudah nak menyelesaikan semua kerja seorang diri. Almaklumlah aku menjahit tanpa pembantu. Jahit seorang diri.Yang nak menggunting aku, yang nak menjahit aku. Mana pembantu? Memang tak ada! Kalau ada pun adalah kawan-kawan yang tolong jahitkan kelim-kelim bahagian kaki, tangan dan leher atau jahit tulang belut yang aku hantar kat rumah mereka. Tapi tahun ini tak ada. Kenapa? Aku kesian nak kacau mereka tahun ini. Ada yang suaminya sakit batu karang asyik keluar masuk hospital dan seorang lagi suaminya pulak kena ghout dan tempahannya juga dah berlambak. Ujian untuk aku tahun ini. Nampaknya aku kena pandai jadualkan waktu. Alhhamdulillah tadi dapat juga aku gunting 11 pasang baju. Tanpa sebarang ganguan. Heee heeee tak ada sesiapa yang nak ganggu sebab hari ini aku tutup pintu kedai dan mengurungkan diri dalam kedai sorang-sorang. Bulan puasa adalah bulan dimana tukang jahit kebanyakannya menyorok dalam kedai. Betul ke tak betul? Orang lain tak tahu lah. Tapi aku memang macam itu. Bila berkurung dapat lah siapkan 3-4 pasang baju sehari. Kalau tak berkurung haaa alamatnya ada-ada aje gangguan yang boleh melambatkan kerja. Bulan puasa ni tak apa tutup kedai sebab tempahan dah tak ambil. Tapi jangan pelik walaupun dah maklumkan malah dah buat notis kat luar tempahan dah ditutup ada juga yang datang merayu-rayu memujuk “tolonglah…….satu aje”. Ehh hati perempuan macamana pun tercair juga. Tapi kadang-kadang bila kita menolak atas alasan-alasan yang kukuh ada yang boleh menerima tapi ada juga yang tak boleh menerima. Kadang-kadang siap tarik muka lagi walaupun kita dah minta maaf berkali-kali tak dapat nak membantu. Nak buat macamana kalau mereka yang tak faham ni nak marah. Lebih baik berterus-terang aje daripada kita ambil nanti bajunya tak siap lagi teruk kena sumpah seranah. Alangkan tak ambil tempahan pun dah tarik muka agaknya kalau tak siap bajunya entah macamana pula herot mukanya. Hee heee itu kenangan tahun lepas. Macam itulah jadi tukang jahit ini macam-macam ujian. Tak kira apa juga kerjaya kita semuanya ada ujian. Kalau tukang jahit ujian cara tukang jahit, kalau guru cara gurulah, kalau pemimpin ujiannya lebih mencabar lagi. Ahhh lupakanlah itu ujian tahun lepas. Tak payah dikenang. Dah lepas dan berlalu. Hadapi lah ujian tahun ini! Tak ada sesiapa nak bantu! Tenang! Tenang!
Tapi rupa-rupanya disebalik setiap ujian yang Allah berikan ada hikmahnya. Teringatkan aku ada anak dara sunti yang baru berusia 11 tahun. Aku mula berangan-angan. Kalau lah anak dara aku ini pandai menjahit kan dia boleh membantu. Upahnya aku berikan pada dia sahaja. Tentu dia seronok dapat duit dan boleh buat simpanan. Aku cuba memujuk agar dia belajar jahit silang pangkah untuk kelim-kelim kaki, tangan dan leher baju. Rupanya pujukkan aku berjaya. Tak sangka sama sekali. Sehari sahaja dia belajar menjahit dah dapat. Terang hati juga budak ni. Jahitannya pun kemas itu yang aku tak sangka sama sekali. Semalam dia berjaya menyiapkan sehelai baju. Hari ini dia berjaya menjahit empat helai baju ukuran kanak-kanak. Sesuatu diluar jangkaan. Setiapkali aku hulurkan duit upahnya dia nampak gembira. Alhamdulillah puasa tahun ini aku dah ada pembantu. Anak sendiri dah boleh membantu! Satu perkembangan yang baik. Rupanya Tuhan nak aku didik anak menjahit pada usia yang masih muda. Inilah hadiah “seorang pembantu” dari Tuhan yang amat mahal sekali aku rasai.
Tapi itu hanya lah hadiah dari Tuhan menurut nilaian aku. Pandangan ayah pula amat berbeza. Ayah menilai hadiah yang Tuhan beri dibulan Ramadhan lebih tinggi martabatnya. Hanya apabila kita perolehi sekiranya kita telah menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Tuhan. Ikutilah madah ayah yang didalamnya mempunyai seribu satu kupasan ilmu yang bermenafaat.
Hadiah Dibulan Ramadhan
Dengan rahmat Tuhan Ramadhan tiba lagi
Ramadhan membawa hadiah-hadiah yang terlalu banyaknya
mahal dan besar-besar dari Tuhan
Hadiah buat orang bertaqwa
Bukan untuk orang Islam
Lebih-lebih lagi bukan untuk orang yang zalim dan fasiq
Hadiah dari Tuhan yang bermacam-macam
Diletakkan di dalam batil-batil dari bahan-bahan yang mahal
Di antara hadiah-hadiah itu ialah:
1. hadiah keampunan Tuhan, hadiah terbesar buat orang yang bertaqwa
2. hadiah keredhaan-Nya juga mahal
3. kasih sayang-Nya yang sangat diperlukan
4. rahmat-Nya
5. berkat dari-Nya dunia Akhirat
6. diberi-Nya pahala berganda-ganda.
7. hadiah lailatul qadar diberi ganjaran seribu tahun beribadah.
8. akhirnya Syurga Tuhan yang kekal abadi.
Kedatangan Ramadhan yang sebenarnya bertukar-tukar hadiah
di antara hamba-hamba dengan Tuhan
Hadiah di antara dua pihak bukan satu pihak sahaja
Hadiah dari Tuhan adalah mahal nisbah hamba
Hadiah dari hamba adalah mahal juga untuk Tuhan
Siapa yang dapat menghadiahkan sesuatu yang mahal kepada Tuhan
maka dapatlah hadiah dari Tuhan yang juga sangat mahalnya
Rupanya ketibaan Ramadhan pun bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan
Tidak semua hadiah hamba dibalas hadiah oleh Tuhan
Hadiah-hadiah yang mahal dari hamba sahaja yang balas hadiah oleh Tuhan
seperti yang akan disebutkan
Wadah-wadah orang yang bertaqwa yang hendak diisi dengan hadiah-hadiah tadi
ada pulangannya
Wadah-wadah itu banyak pula di antaranya:
1. Ada wadah puasa yang diisi dengan keinsafan, timbang rasa, kesabaran, rasa hamba
Rasa lemah, lembut hati, lapang dada, bertolak ansur
2. Wadah sembahyang diisi dengan hadiah-hadiah rasa kehambaan, rasa dilihat,
Rasa hina, rasa rendah diri, lembut hati, rasa harap, malu, rasa kerdil, tawadhuk, khusyuk, Gementar, takut, taubat, menyesal, takut dengan dosa di masa depan.
3.Wadah membaca Al Quran diisi dengan dapat ilmu, pengajaran, keinsafan
Terasa kebesaran Tuhan, terasa rahmat dan kasih sayang-Nya kepada insan
Hati tenang, bertambah takut dengan Tuhan dengki hilang
4. Wadah zikir seperti tasbih, tahmid, takbir diisikan dengan mensucikan Tuhan,
Memuji Tuhan, membesarkan Tuhan, tawakkal, penyerahan diri kepada Tuhan,
baik sangka
Membesarkan Akhirat, mudah dengan dunia, dunia tidak menyusahkan hatinya
Tenang dengan dunia, gelisah dengan Akhirat
Jika setiap wadah-wadah tadi dapat diisi dengan rasa-rasa yang telah disebutkan tadi
Orang bertaqwa sungguh dapat manghayati Ramadhan dengan akal fikiran,
hati dan jiwa raganya
Ruh Ramadhan menjadi roh kepada hatinya dan jiwanya
Ruh di atas roh, jiwa di atas jiwa
Rohnya bercahaya dengan cahaya Ramadhan
Itulah orang bertaqwa
Orang bertaqwa sahaja yang pasti dapat hadiah yang besar
Kerana orang bertaqwa itu dapat membawa hadiah pula untuk Tuhan
Hadiah-menghadiah bertukar-tukar hadiah di antara hamba dengan Tuhan
Sesiapa yang tidak dapat memberi hadiah di bulan Ramadhan kepada Tuhan
seperti yang telah dinyatakan
Dia tidak akan dapat hadiah dari Tuhan
Sesiapa yang tidak dapat hadiah dari Tuhan sia-sia sahaja Ramadhan
Dia tidak dapat apa-apa kecuali dahaga, kelaparan, kehausan dan keletihan
Cuba kita fikirkan Ramadhan yang telah lama kita lalui
Adakah kita membawa hadiah-hadiah yang berharga kepada Tuhan?
Kita tentu dapat mengagak nilai hadiah yang kita anugerahkan kepada Tuhan
setiap Ramadhan bukan?
Apakah hadiah hadiah kita itu Tuhan balas dengan hadiah yang telah disebutkan?
Semua soalan-soalan itu setiap orang boleh memberi jawapan
Berdasarkan ilmu pengetahuan seperti yang digambarkan
Sungguh susah hendak dapat hadiah dari Tuhan di bulan Ramadhan
Kerana bulan Ramadhan kita jadikan pesta minum dan makan
Pesta borak-borak dan bualan-bualan selepas sembahyang sebelum pulang
Bukan pesta mencapai hati dan jiwa takut dan cintakan Tuhan
Bulan Ramadhan sebenarnya adalah pesta rohaniah, pesta hati dan jiwa
Ramadhan bukan pesta lahiriah
Atau pesta syariat rohnya tidak ada
AYAH SUFI
9.10.2004