Sunday, September 2, 2007

TAMPAL BAJU SEUMPAMA TAMPAL DOSA DENGAN TAUBAT

Hari ini aku rasa sikit keletihan. Banyak tempahan baju nak disiapkan segera. Tambahan bulan Ramadan dah hampir tiba. Kalau nak dikirakan waktu ini aku memang dah tak ambil lagi tempahan. Apatah lagi nak merepair baju-baju pelanggan yang semasa mereka beli ada yang besar nak dikecilkan. Yang labuh minta dipotong dan dipendekkan. Emmm kesian juga tapi disebabkan dah kesuntukan masa aku katakan pada mereka boleh tolong repair tapi syarat dalam seminggu baru boleh ambil. Ye lah biasanya bab merepair baju ini aku buat sambil-sambil aje. Kesian juga kekadang mereka mengeluh kat rumah tak ada mesin jahit. Ada juga kata isteri tak pandai menjahit. Hemm aku tak kesah semua alasan itu yang penting aku tolong sebagai khidmat kepada masyarakat yang memerlukan tenaga kerja aku. Kadang-kadang baju koyak, seluar koyak, kain koyak pun mereka hantar. Aku jahitkan juga. Sekurang-kurangnya aku rasa berpuas hati dan terhibur dapat berkhidmat pada manusia yang memerlukan pertolongan aku. Ayah berpesan dalam hidup ini kenalah banyak menghiburkan hati manusia. Mungkin memberi khidmat serupa ini ia juga salah satu hiburan menggembirakan hati insan lain.

Bila cerita pasal repair baju ni, baru semalam ustaz Nan datang hantar jubahnya Dia minta tolong tampalkan kesan-kesan koyak. Sayang nak dibuang katanya sebab dia suka dengan jubah tu. “Saya sayang jubah ni…masih sedap dipakai tapi kainnya dah pecah-pecah. Boleh yee awak tolong jahitkan. Boleh juga saya pakai waktu sembahyang kat rumah.” Begitulah dia menyuarakan permintaanya. Aku angguk kepala tapi dalam kepala otak aku memikirkan payah juga nak menampal jubah ustaz ni. Yang koyak bahagian leher yakini betul-betul bahagian depan baju. Kalau begitu bukan boleh ditampal biasa aje. Nak juga kena cari kain yang sesuai, warna yang sesuai agar bila dah tampal tak lah nampak ketara cacatnya. Puas aku mencari kain yang sesuai dan warna yang seakan serupa. Tapi selama tiga hari aku tak dapat nak selesaikan masalah ini. Hemmm kalau nak senang aku tampal ajelah dengan apa-apa kain. Tapi kesian nanti jatuh pula “izzah” ustaz Nan kalau terpakai baju tu didepan orang lain pulak. Tak elok nanti jatuh pula wibawa dirinya. Bukannya ustaz Nan tak berduit nak beli jubah baru. Aku kira dah banyak juga jubah yang orang bagi kat dia. Sebab tiap kali orang balik haji ada yang akan beri dia jubah baru. Aku juga lah yang memotong kaki jubah tu. Maklumlah orang Arab besar-besar dan tinggi sedangkan ust Nan rendah aje. Tapi jubah yang lama ini juga yang dia suka sangat. Emmmm hanya dia saja yang tahu kenapa dia sukakan jubah itu.

Akhirnya aku dapat akal. Disebabkan lipatan bawah kakinya agak besar maka aku potong aje lah kaki bawah jubah itu dan kain cebisan potongan itu aku gunakan untuk menampal bahagian atas dan depan baju yang koyak. Aku tampal bahagian yang koyak dan jahit kemas-kemas dengan jahitan sulman tangan ingsang pari. Jadi dapatlah aku menampal bahagian depan baju dengan warna dan jenis kain yang sama. Manakala bahagian kaki yang aku dah potong itu aku gantikan pula tampalannya dengan kain lain yang warna seakan-akan serupa sebab ia duduk dibahagian bawah dan orang tak akan perasan.

Ketika aku cepat-cepat nak siapkan tampalan baju tu macam biasa kalau duduk menjahit kat kedai aku akan pasang cd nasyid. Kalau tak aku mengantuk. Lagu-lagu nasyid yang ada tu lah jadi teman, jadi penghibur dan membantu aku dari mengantuk….tiba-tiba lagu Hasnol yang bertajuk “Orang mukmin yang berdosa”..berkumandang. Rupa-rupanya hari ini aku dapat mempelajari sesuatu. Dengan menampal jubah ustaz Nan aku teringat kembali majlis ilmu ayah yang satu ketika dulu menghuraikan ilmu tentang taubat. Menampal baju umpamanya seperti kita menampal hati yang telah berdosa dengan bertaubat. Walaupun baju itu telah ditampal dengan teliti dan kemas tapi bekas tampalan tetap ada. Bagi orang mukmin yang berdosa ingatannya kepada dosa sentiasa ada dan tak boleh dilupakan kerana dosa yang dilakukan umpama telah meninggalkan parut yang berbekas buat dirinya.


TAKUT DENGAN DOSA

Orang mukmin yang sejati itu

Jika terbuat dosa

Hatinya luka, punah, sedih dan derita

Jiwanya parah, dia tidak boleh melupakannya sepanjang masa

Kalau anggota lahir, sudah tentu nampak berdarah

Kalaupun sembuh dari lukanya

Namun parutnya ada

Begitulah halus perasaan seorang hamba yang berdosa

Dia tidak boleh melupakannya sepanjang masa

Bagaimana dia boleh melupakannya

Kerana parutnya masih ada

Teringat sahaja jiwanya terseksa

Teringat sahaja hatinya derita

Payah sekali dia mahu melupakannya

Perasaan ini adalah anugerah dan nikmat dari Tuhannya

Takut dengan dosanya itu adalah buat syafaat kepadanya

Terseksa dengan dosa, derita dengan kesalahan

Dianggap oleh Allah itulah hukuman kepada hamba-hamba-Nya

Moga di Akhirat kelak terlepas

Daripada seksa Neraka

Begitulah hati seorang mukmin

Sentiasa sahaja bergelora

Kerana takut dengan Tuhannya

Lebih-lebih lagi setelah terbuat dosa

Kalaulah Allah perlihatkan kepada manusia

Sudah tentu manusia akan mengatakan dia telah gila

Kerana keluh-kesahnya sentiasa bergelombang di dalam jiwanya

Kerana takut sangat dengan Tuhannya


Kongsi bersama siri kuliah ayah….


TAUBAT DARI DOSA

Manusia memang tidak boleh terlepas daripada berbuat dosa. Kalau tidak dosa terang-terangan, kita terlibat dengan dosa-dosa yang tersembunyi. Kalau tidak dosa lahir, kita terlibat dengan dosa-dosa batin. Kalau tidak dosa yang kita sedar, kita terlibat dengan dosa-dosa yang kita tidak sedar. Kalau tidak dosa-dosa besar, kita terlibat dengan dosa-dosa kecil.

Dosa-dosa kecil ini pula, kalau kita kekalkan dan kita anggap ianya kecil, ia menjadi dosa besar. Kecualilah bagi para rasul dan nabi yang maksum, yang dosa-dosa mereka itu telah sedia diampunkan oleh Tuhan.

Dosa berlaku bila kita berbuat maksiat dan kemungkaran, dan bila kita melanggar perintah Tuhan sama ada kita tinggal apa yang Tuhan wajibkan ataupun kita buat apa yang Tuhan haramkan.

Maksiat dan kemungkaran ialah pintu manusia terkeluar dari rahmat dan kasih sayang Tuhan. Pintu untuk kembali kepada rahmat dan kasih sayang Tuhan ialah Taubat. Taubat ialah satu anugerah Tuhan kepada manusia supaya manusia yang terbuat salah dan dosa, tidak berputus asa. Taubat adalah jalan bagi mereka menyucikan diri dan kembali semula kepada Tuhan.

Kaedah bertaubat berbeza-beza dari umat ke umat. Bangsa Yahudi yang menjadi pengikut para Nabi dan Rasul yang terdahulu terpaksa membunuh diri sebagai syarat untuk bertaubat dari dosa-dosa besar. Untuk bertaubat, mereka perlu keluar pada malam yang gelap-gelita di tempat yang sunyi dan menikam diri mereka hingga mati. Mati itulah syarat taubat mereka diterima Tuhan. Justeru itu, tidak ramai yang sanggup bertaubat kerana syaratnya terlalu berat. Hanya mereka yang betul-betul menyesal sahaja yang sanggup berbuat demikian.

Bagi kita orang Islam dan umat Rasulullah, cara untuk bertaubat sangat mudah. Inilah sebahagian dari rahmat dan berkat Rasulullah. Syaratnya hanyalah:
* Menyesal
* Berhenti dari berbuat maksiat berkenaan
* Berazam jangan diulangi lagi
* Kalau dosa itu melibatkan orang lain, kena minta ampun dari orang tersebut terlebih dahulu

Oleh itu, ramailah orang-orang Islam yang bertaubat kerana syaratnya sangat ringan dan mudah. Hari-hari orang Islam bertaubat. Ada yang bertaubat berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan beribu-ribu kali seumur hidup mereka. Ini sangat berbeza dengan bangsa Yahudi di zaman dahulu. Mereka hanya boleh bertaubat sekali sahaja dalam hidup mereka kerana apabila sudah bertaubat mereka terpaksa membunuh diri. Inilah juga punca kedengkian dan sakit hati para Iblis dan Syaitan terhadap umat Rasulullah.

Sebegitu kerasnya mereka berusaha sepanjang masa tanpa rehat untuk menipu, menyesatkan dan menjerumuskan umat Rasulullah ini ke dalam kancah maksiat dan kemungkaran, semua dosa itu akan terhapus hanya dengan sekali taubat sahaja. Justeru itu, sebegitu ramai umat yang iblis dan syaitan telah jauhkan dari rahmat dan kasih sayang Tuhan, seramai itu pula yang kembali kepada Tuhan dengan bertaubat. Kerana taubat itu dipermudahkan bagi umat Rasulullah.

Namun, walaupun bertaubat itu mudah, di pintu taubat itulah iblis menunggu untuk menipu kita supaya taubat kita tidak diterima Tuhan. Bahkan dia sentiasa berusaha supaya taubat kita bukan sahaja tidak diterima Tuhan malahan akan menjauhkan lagi kita dengan Tuhan. Apabila kita bertaubat dengan penuh penyesalan, digalakkannya lagi dan didorong-dorongnya hingga kita terasa di hati kita yang dosa kita telah terhapus. Hingga kita terasa sudah tidak berdosa lagi. Hingga kita terasa diri sudah bersih dan suci dari dosa. Rasa tenang, rasa aman dan rasa selamat dengan taubat kita itu hingga hati kita berkata-kata:


“Dah bertaubat ni, tenang rasa hati aku, rasa hilang beban dosa!”

“Dah bertaubat ni, kalau boleh aku rasa nak mati sekarang jugak Aku ini mati esok, syurga manalah agaknya?”

Akibatnya, kita bertaubat dari satu dosa tetapi kita terjerumus ke dalam satu dosa lain yang lebih berat lagi. Kerana rasa tidak berdosa itu adalah satu dosa. Rasa diri bersih dan suci dari dosa itu satu mazmumah. Ini dosa batin namanya. Dosa hati. Dosa lahir tidak bahaya kerana mudah kita sedar dan kita tahu. Oleh itu tidak ada masalah untuk bertaubat. Tetapi dosa hati sangat halus dan tersembunyi. Jarang manusia sedar bila terbuat dosa hati. Jarang mereka bertaubat dari dosa-dosa batin ini. Akhirnya mereka mati membawa dosa-dosa tersebut tanpa bertaubat. Ini ghurur namanya. Ini tipuan syaitan.

Sepatutnya, lagi banyak kita bertaubat, lagi tajam sifat kehambaan yang ada pada diri kita. Setelah bertaubat, kita sepatutnya lebih takut dengan Tuhan. Lebih rasa bersalah. Lebih rasa berdosa. Lebih rasa hina. Lebih rasa cemas dan bimbang. Tetapi berlaku sebaliknya. Setelah kita bertaubat, hilang sifat-sifat hamba kita. Tumbuh pula sifat-sifat ketuanan yang dibenci Tuhan dalam hati kita. Tumbuh sifat-sifat mazmumah seperti merasakan diri tidak berdosa. Merasa diri suci dan bersih . Hilang rasa bimbang. Hilang rasa takut dan cemas. Merasa diri selamat. Merasa diri sudah layak masuk syurga. Inilah angkara tipuan syaitan.

Memang, bagi kita umat Rasulullah, bertaubat itu mudah. Tetapi tipudaya syaitan terhadap orang yang bertaubat juga sangat halus dan sukar dikesan. Berapa ramai orang yang bertaubat tetapi tidak mendapat keampunan Tuhan tetapi sebaliknya dilaknat pula oleh Tuhan . Hubungannya dengan Tuhan lebih baik sebelum dia bertaubat. Walaupun sebelum bertaubat itu dia berdosa, setidak-tidaknya dia tahu dia berdosa, dia merasa dirinya berdosa dan dia rasa bersalah dengan Tuhan. Dia takut. Dia bimbang. Dia cemas. Dia risau kalau-kalau Tuhan murka padanya. Sifat hambanya lebih tajam sebelum dia bertaubat. Rasa-rasa inilah sebenarnya yang menyebabkan Tuhan sayang dan kasihan pada hamba-hambaNya.

Apa ertinya kalau kasih sayang Tuhan ini hilang selepas kita bertaubat. Apa ertinya kalau kita menjadi angkuh dan tidak beradab dengan Tuhan setelah kita bertaubat. Apa ertinya kita bertambah jauh dari Tuhan setelah kita bertaubat. Inilah taubat palsu namanya. Kita wajib bertaubat dari taubat palsu seperti ini.

1 comment:

Mariaa said...

macam mne nk tampal baju ye kak? tolong ajar blh?