Saturday, September 8, 2007

KISAH-KISAH TAUBAT YANG BOLEH MENJADI IKTIBAR DAN RENUNGAN


WAHSYI MENEBUS DOSANYA

Wahsyi bin Harb, terkenal dalam sejarah sebagai seorang hamba kulit hitam yang telah membunuh dengan kejam Sayidina Hamzah r.a., bapa saudara Rasulullah SAW.

Ketika terjadinya Perang Uhud, Hindun telah menawarkan kepada Wahsyi agar membunuh Sayidina Hamzah r.a. dan sebagai ganjarannya dia akan dimerdekakan. Wahsyi yang memang menunggu-nunggu peluang keemasan itu telah menerima tawaran tersebut. Wahsyi segera berangkat ke medan Uhud secara sembunyi-sembunyi dan mencari-cari Sayidina Hamzah. Akhirnya dia mengenal pasti orang yang dicari iaitu Sayidina Hamzah r.a. bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Wahsyi mula mencari tempat yang paling strategi iaitu dengan berlindung di sebalik batu. Beliau menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Setelah cukup yakin, beliau pun melemparkan lembingnya tanpa disedari oleh Sayidina Hamzah r.a. dan lembing itu tepat mengenai sasarannya. Sayidina Hamzah rebah ke bumi lalu syahid.

Wahsyi segera memberitahu tuannya, lalu datanglah Hindun mendapatkan jasad Sayidina Hamzah yang sudah tidak bernyawa itu. Dibelahnya dada Sayidina Hamzah r.a. dengan kejam dan tanpa belas kasihan terus dikeluarkan jantungnya. Kemudian dengan rakus sekali dia mengunyah jantung Sayidina Hamzah r.a. kerana hendak memakannya, tetapi dia tidak mampu menelannya. Setelah hatinya puas, Hindun pun meninggalkan mayat bapa saudara Rasulullah itu.

Setelah peperangan tamat, kesemua para syuhadak dikumpulkan untuk dikebumikan. Rasulullah SAW terasa amat hiba dan sedih apabila melihat mayat bapa saudaranya itu diperlakukansedemikian rupa. Rasulullah menanggung kedukaan yang sangat hebat yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

Ketika hari pembukaan (futuh) Mekah, Rasulullah SAW telah mengutus seseorang kepada Wahsyi untuk menyerunya kepada Islam. Akhirnya Wahsyi memeluk Islam, lalu dibawa ke hadapan Rasulullah SAW.

Rasulullah bertanya, "Kamukah yang bernama Wahsyi?"
"Ya," jawab Wahsyi.

"Kamukah yang telah membunuh bapa saudaraku Hamzah?"
tanya Rasulullah.
"Benar," jawab Wahsyi. "

"Ceritakan kepadaku bagaimana kamu melakukan pembunuhan itu ," pinta Rasulullah.
Wahsyi pun menceritakan satu persatu apa yang telah dilakukan kepada bapa saudara Nabi itu, bagaimana tubuh bapa saudara baginda dilapah dengan kejam oleh Hindun dan dimakan hati dan jantungnya.
Selesai sahaja bercerita, Rasulullah SAW yang dalam keadaan teramat sedih berkata kepadanya: "Pergilah kamu dari sini. Jangan engkau muncul lagi di hadapan mataku."

Hancur luluh hati Wahsyi mendengar kata-kata yang keluar dari mulut baginda. Namun dia akur dan insaf bahawa perbuatannya dahulu telah menyakiti hati `orang Tuhan` iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dosanya telah diampunkan lantaran memeluk Islam, tetapi atas kasih sayang Rasulullah, dia dilarang menampilkan diri di hadapan baginda, takut-takut perasaan Rasulullah tercacat apabila terpandang wajahnya. Mencacatkan hati orang Tuhan sangat besar akibatnya kerana itu bererti mencacatkan `hati` Tuhan. Orang yang cacat dengan Tuhan tidak akan selamat di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.

Lalu Wahsyi yang sedar akan kedudukannya, redha menerima ketentuan itu. Dia memperbaiki dirinya dan meningkatkan ketaqwaannya kepada Tuhan. Sewaktu-waktu menghadiri majlis baginda, Wahsyi mengintai-ngintai dari jauh untuk melihat wajah Rasulullah SAW.Semakin hari hatinya semakin cinta dengan Nabi SAW. Dan semakin hari hatinya juga semakin rasa berdosa terhadap baginda atas perbuatannya dahulu. Lalu timbul azam di hatinya untuk menebus kembali dosa-dosanya itu dengan melakukan sesuatu yang akan menggembirakan baginda.

Wahsyi bertekad dan berazam tidak akan pulang lagi ke Kota Mekah demi untuk merebut cinta kekasih Allah iaitu Muhammad SAW. Beliau benar-benar ingin menebus kesalahannya dengan menyebarkan Islam. Keazaman Wahsyi itu telah dibuktikannya dengan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk berdakwah mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam, hingga akhirnya beliau mati di luar Jazirah Arab.




PEMUDA YANG BERTAUBAT

Imam Malik bin Dinar telah meriwayatkan kisah seorang pemuda yang mengejar cinta Tuhan dengan jalan bertaubat.

"Ketika kami mengerjakan ibadah haji, kami mengucapkan talbiyah dan berdoa kepada Allah, tiba-tiba aku melihat pemuda yang masih sangat muda usianya memakai pakaian ihram bersendirian di satu sudut tanpa mengucapkan talbiyah juga tidak berzikir mengingat Allah seperti orang-orang lainnya. Aku mendatanginya dan bertanya kepadanya kenapa beliau tidak mengucapkan talbiah seperti orang-orang lain?

Lantas dia menjawab, "Apakah talbiyah itu cukup bagiku, sedangkan aku sudah berbuat dosa dengan terang-terangan. Demi Allah! Aku risau dan bimbang entah-entah ketika aku mengatakan “labbaik” maka malaikat menjawab kepadaku, 'tiada labbaik dan tiada kebahagiaan untukmu'. Lalu aku akan pulang dengan membawa dosa besar."

Aku bertanya kepadanya, "Sesungguhnya bukankah kamu memanggil yang Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

Dia terus bertanya kembali, "Apakah kamu menyuruhku untuk mengucapkan talbiyah? "

Aku menjawab, "Ya."

Kemudian dia berbaring di atas tanah, sambil meletakkan salah satu pipinya ke tanah sambil mengambil batu dan diletakkannya batu itu di pipi yang lain dengan bercucuran air matanya dia berucap, "Labbaika Allaahumma labbaika, sungguh telah aku tundukkan diriku kepada-Mu dan badan telah kuhempaskan di hadapan-Mu."

Lalu aku melihatnya lagi di Mina dalam keadaan menangis dan dia bekata, "Ya Allah, sesungguhnya orang-orang telah menyembelih kurban dan mendekatkan diri kepada-Mu, sedangkan aku tidak punya sesuatu yang bisa kugunakan untuk mendekatkan diri kepadamu kecuali diriku sendiri, maka terimalah pengorbanan diriku. Kemudian dia pingsan dan tersungkur mati.

Maka Imam Malik dengan penuh harapan mengharapkan agar Allah menerima amal ibadah dan taubatnya pemuda itu.


TAUBAT AKHIR ZAMAN

Petikan suratkabar Utusan Malaysia 4 sept

Pencuri pulangkan duit tabung masjid

Muar 4 set. – Seorang ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Amin, Bukit Kangkar di sini terkejut apabila mendapati salah sebuah tabung besi di dalam masjid itu mengandungi sekeping nota berserta wang tunai RM200 yang dipercayai dipulangkan oleh pencuri.

Nota yang tidak bertandatangan itu berbunyi: “Assalamualaikum, kepada imam dan ahli Masjid Bukit Kangkar, saya memohon seribu kemaafan kerana saya pernah mengambil duit tabung masjid ini kerana ketika itu saya susah. Dengan ini saya mengembalikan wang tersebut dan diharap dapat dimaafkan. Saya bertaubat. Hamba Allah”

Setiausaha masjid terbabit, Mustaffa Ab. Rahman, 47, memberitahu nota dan wang tunai itu ditemui bendahari masjid, Daud Abdul Ghani sewaktu membuka tabung itu sebelum solat Jumaat baru-baru ini.



No comments: