Sunday, September 30, 2007

PESANAN AYAH DI BULAN RAMADHAN

Hari ini rupanya sudah masuk hari ke lapan belas ramadhan. Semakin hampir nak berakhir bulan ramadhan rupanya. Entahlah apakah amalan-amalan aku di bulan ramadhan ini di terima Tuhan, aku pun tak tahu. Kalau di hitung-hitung bukannya banyak amalan aku. Asyik sibuk nak menyiapkan tempahan-tempahan baju pelanggan. Yang aku asyik-asyik risau dan menghitung hari-hari adakah sempat atau tidak sempat aku nak menyiapkan baju-baju pelanggan.

MasyakAllah….tak sama seperti cerita ayah. Ayah selalu menceritakan bagaimana orang-orang soleh dan bertakwa asyik menghitung-hitung diri takut Allah tidak terima amalan mereka di bulan yang mulia ini. Malah ayah sendiri selalu nasihatkan kami agar jangan cuai beramal dan beribadah. Kata ayah bulan ramadhan ini merupakan bulan yang sangat mulia. Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam, siang berlapar-lapar dan berletih-letihan. Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan.Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Tuhan yang Maha Kuasa.Ramadhan hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Tuhan, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa. Ramadhan hendak menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia, rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa.Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa.Ramadhan hendak rasa agung-Nya Tuhan, hebat dan kuasa-Nya Tuhan.Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria sedangkan dalamannya gelap-gelita.

Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa, Tuhan pandang bukan yang luaran tapi yang di dalam. Tuhan hendak melihat yang di dalam batin manusia apakah hidup jiwanya rasa bertuhan. Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita. Membanyakkan berzikir bukan lafaznya tapi penghayatannya. Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah tapi menyebut di hati, dirasa oleh jiwa.

Tambah ayah lagi kalau membaca al-Quran dbiarlah kita faham. Jangan sekadar merebut nak khatam Quran saja. Baca Quran tak habis satu Quran pun tak apa. Yang penting semasa membaca Quran itu terasa bersama Allah, merasakan setiap ayat-ayat yang memberi amaran adalah dituju untuk kita. Semasa baca Quran ada khabar gembira, ada cerita kiamat yang menakutkan dan ada cerita orang-orang soleh yang boleh kita hayati. Sebab itu ayah minta kami dahului membaca Quran dengan membaca tafsir nya kemudian ayah minta seorang dari kalangan kami mengetuai membaca secara tertib dan kemudian yang lain ikut. Itulah pesan ayah buat kami. Kata ayah tak guna kalau kita sogok anak-anak hanya membaca Quran atau menyuruh anak menghafaz alQuran dan Hadis tapi tak dapat nak menanamkan rasa bertuhan (yakini Tuhan hebat, maha kuasa, maha bijaksana, maha penyanyang, maha pengasih dan melahirkan rasa hamba (rasa diri hina, daif, rasa kerdil, rasa bersalah, reda dengan ketentuan Allah, sabar dengan ujian Allah dll) Kerana bila tidak ada rasa bertuhan dan rasa kehambaan maka amalan yang dibuat tidak dapat membentuk peribadi mulia. Itulah pesanan ayah buat kami…


RAMADHAN, RAHMAT ALLAH TERBUKA LUAS

Bulan Ramadhan rahmat Allah segala-galanya terbuka luas

Berkatnya terbuka luas di mana-mana

Keredhaan-Nya terbuka sepanjang Ramadhan

Keampunan-Nya terbuka siang dan malamnya

Pahalanya mencurah-curah bagaikan hujan lebat

Ia diganda-gandakan dibandingkan di bulan biasa

Rahmatnya melimpah ruah

Kepada sesiapa sahaja yang menginginkannya

Tapi mampukah kita memperolehi itu semua?

Layakkah kita mendapatkannya?

Kitakah orangnya yang memperolehi keistimewaan itu?

Kalaulah di bulan Ramadhan itu lahir kita sahaja yang meriah

Disambut pula dengan pesta makan minum

Fikiran dan jiwa kita tidak pun berubah

Maka keistimewaan Ramadhan bukan untuk kita

Keistimewaan itu adalah untuk orang yang bertaqwa

30.12.1998

AYAH SUFI



RAMADHAN BERLALU

Ramadahan berlalu hati ku pilu

Ramadhan pergi hati ku sedih

Ramadhan selesai hati ku gelisah

Kewajipan ku tunaikan tapi tak rasa puas

Lahirnya aku mengisi batinnya aku tak tahu

Aduh sedihnya hati, cemasnya aku, menyesalnya aku

Ramadhan meninggalkan aku belum tentu bertemu lagi

Kecuali umur ku panjang tahun hadapan pasti ku tunggu

Orang dahulu menghayati ramadhan tapi aku cuai untuk melaksanakan

Ramadhan ku tunggu tak sepertinya orang dahulu menghayatinya

Berilah aku kekuatan kesungguhan untuk melawan nafsu ku

Panjangkanlah umurku ubahlah perangai ku

Oh tuhan umur ku telah bertambah

Rasa hamba berdosa mengharapkan rahmat

Mengharapkan rahmat mu

No comments: