Dalam diri kita ini ada macam-macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani. Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, otak, saraf, saluran darah dan lain-lain lagi. Tersimpan juga dalam tubuh badan kita ini berbagai-bagai maklumat aqiliah seperti ilmu alam, matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia-rahsia peribadi dan individu-individu lain termaksuk maklumat tentang alam ghaib seperti syaitan, malaikat, alam kubur dan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini. Kecil tetapi berbagai khazanah ada di dalamnya. Tapi yang lebih hebat lagi di dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombangnya bertukar dengan rupa yang begitu pantas.
Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang-kadang pula sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Bukan itu saja, lautan rasa tadi boleh pula bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, selamat, rasa boleh serba serbi. Tiba-tiba dilanda pula rebut rasa derita, kecewa, putus asa, lara, terseksa, rasa diri tidak berguna, rasa hina, lemah, tak selamat, rasa serba tidak boleh. Disudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila pujian, gila wanita, gila lelaki, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, nak bunuh diri, nak bunuh orang, mengangkat diri, jatuhkan orang, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri dan macam-macam.
Namun janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakad itu.
Inilah keajiban penciptaan, pemberi dan anugerah yang maha luas. Bagaimana dari sekujur tubuh ini penuh dengan lautan-lautan dalam yang memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa perekanya? Siapa perancang dan pencipta yang mengawal sistem super power ini? Bukankah Tuhan? Hanyalah Dia yang mampu. Hanya lah Dia dan Dia saja! Sebab Tuhan Yang Maha Agung ini telah memfirmankan di dalam Al-Quran bahawa:
"Sesungguhnya manusia adalah sebaik-baik kejadian dan cipataan"
Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi. Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan segala kesempurnaan ciptaan itu. Iaitu dibekalkan benih taqwa yang mana dalam lautan hati dan roh mereka dipenuhi dengan rasa berTuhan sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta. Ia dapat menundukan keseluruhan rasa cinta hanya kepada cintakan Tuhan Yang Maha Agung. Perasaan-perasaan ini jika disuburkan, dibaja, diarahkan, akan mampu menjadikan manusia berhati malaikat, iaitu mengabdikan seluruh hidup, jiwa dan raganya dengan menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan di setiap degupan jantungnya. Hidup mati ditujukan kepada Allah semata-mata. Ini lah yang Allah SWT maksudkan:
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku”
Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta murahan inilah yang direbutkan sedangkan cinta Allah dibiarkan.
Wahai yang empunya diri,
Siapa yang kenal dirinya nscaya dia akan kenal Tuhannya. Renungilah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab kita semua, kepunyaan kita bukan kita yang mengawalnya. Bukan kita yang mentadbir, menguruskannya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50-60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya bukan kawalan kita semua. Selamat atau tidaknya diri kita bukan kita yang menentukannya. Bila jantung akan berhenti bedegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya! Apakah kita tidak perasaan bahawa seluruh keajiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh itu siapakah yang memulakan dan mengakhir itu? Sedangkan yang empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya Tuhan!
Fitrah kita menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama dengan rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai hamba Allah. Tapi marah kiranya ada orang menuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dan lain-lain. Pelik kita ini. Macam-macam yang dicintai tapi marah kalau dikaitkan dengan banyak-banyak hal itu. Sebab cinta itu murah. Sedangkan cinta Tuhan itu tersangat lah mahal.
Kenapa kita tidak membaja cinta kepada Tuhan? Sedangkan cinta girlfriend dan boyfriend itu begitu dipupuk? Sayangkan anak dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa dibesar-besarkan. Sayangkan dunia, pangkat, kereta dan lain-lain bertakhta di hati. Sanggup kita mati kerananya! Walhal semua kesayangan itu ia pernah ada dan pernah tiada. Sedangkan Tuhan, Dialah memberi nafas buat kita, memberi makan, rezki ingatan untuk kita. Dia juga yang memberi orang-orang yang kita kasihi umpamanya anak, isteri dan ibu bapa. Kerana Tuhanlah manusianya kita, tidur lena kita, rezki kita, senyum tangis kita, nikah kahwin kita, miskin kaya kita, sakit sihat kita, tua muda kita, baik jahat kita, pandai bodoh kita, hidup mati kita, pandangan, penglihatan, pendengaran, beranak tidaknya kita, mulia hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang pun di tangan Tuhan jugalah.
Sesungguhnya Tuhan adalah segalanya. Tuhan sangat sayangkan manusia. Dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Oleh itu marilah kita belajar semula untuk mencintai Yang Maha Agung. Cinta Agung kita kepada Alah SWT dan jadikan lah Tuhan tempat rujuk kita.
“Wahai Tuhan ajarlah kami untuk mencintaimu.Amin ya rabbal alamin.”
No comments:
Post a Comment